PKP 3.0: Pasukan khas berpakaian preman pantau pematuhan SOP

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

PERINGGIT 25 Mei – Polis Melaka menubuhkan pasukan khas membabitkan pegawai dan anggota tidak beruniform bagi melaksanakan operasi pematuhan premis perniagaan dan kawasan sektor perindustrian dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang diketatkan.

Timbalan Ketua Polis Melaka Senior Asisten Komisioner Razali Abu Samah berkata, 10 pasukan khas dibentuk setiap satu diketuai seorang pegawai bagi menjalankan operasi pemantauan itu.

Katanya, pasukan ini akan berada di premis perniagaan, kawasan perindustrian termasuk kilang serta pusat beli-belah bagi memantau pergerakan pemilik premis dan orang ramai dalam pematuhan prosedur operasi standard (SOP) tambahan PKP 3.0.

TIMBALAN Ketua Polis Melaka SAC Razali Abu Samah.

“Setiap pasukan ini diketuai pegawai kanan dan mereka akan mengambil tindakan saman serta-merta sekiranya berlaku pelanggaran SOP.

“Itu sebabnya kita mengarahkan pasukan khas tidak beruniform ini supaya orang ramai mematuhi SOP, jadi mereka tidak sedar bahawa mereka sedang dipantau.

“Kita tidak akan memberikan sebarang diplomasi atau budi bicara apabila individu itu melakukan kesalahan langgar SOP mengikut Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988),” katanya selepas membuat lawatan mengejut di sebuah pasar raya di Taman Lagenda di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) negeri, Asisten Komisioner Mohd Hedzir Hussin; Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad dan Pegawai Turus Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Kententeraman Awam (JKDNKA), Deputi Superintendan Nik Ab Halim Nik Mat.

SAC Razali memeriksa pendaftaran MySejahtera yang dibuat seorang pengunjung.

Mengulas lanjut, Razali berkata, pihaknya turut menambah dua sekatan jalan raya (SJR) statik menjadikan jumlah keseluruhan 12 SJR yang dilaksanakan.

“Dua tambahan SJR itu masing-masing di daerah Jasin dan Alor Gajah dan jumlah keseluruhan yang bertugas membabitkan 1,001 anggota,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut meningkatkan pemantauan selepas jam 8 malam dengan menggerakan pasukan Unit Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB).

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya peka dan mematuhi SOP terbaharu bagi memastikan kadar penularan COVID-19 di negeri ini dapat dikurangkan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

817
Kongsi :
Previous post Kes COVID-19 ketika ini jangkitan sebelum dan pada Aidilfitri
Next post Kertas siasatan Awie langgar SOP lengkap minggu ini- Polis
Ubah saiz-+=