PKP: Kawalan ketat di sempadan Melaka bermula

Masa Membaca:2 Minit, 23 Saat

AYER KEROH 13 Jan. – Tepat jam 12.01 tengah malam ini, polis Melaka dan tentera mula melaksanakan sekatan jalan raya (SJR) memeriksa kenderaan yang keluar masuk ke negeri ini.

Ia susulan pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama 14 hari di enam negeri termasuk Melaka bermula tengah malam ini sehingga 26 Januari ini.

Tinjauan Melaka Hari Ini (MHI) di Jalan Tun Razak Ayer Keroh mendapati, pihak polis mula melakukan SJR di kedua-dua arah sebelum Plaza Tol Ayer Keroh bagi memeriksa kenderaan yang keluar masuk ke Melaka.

POLIS Melaka dan tentera mula melaksanakan sekatan jalan raya (SJR) memeriksa kenderaan yang keluar masuk ke negeri ini susulan pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama 14 hari bermula 13 sehingga 26 Januari ini. FOTO/ MR Azli

Isnin lalu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan PKP di enam negeri membabitkan Melaka, Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Johor dan Sabah bermula 13 hingga 26 Januari ini.

Untuk tempoh sama, enam lagi negeri iaitu Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan pula dilaksanakan PKP Bersyarat (PKPB) manakala PKP Pemulihan (PKPP) bagi Perlis serta Sarawak.

Negeri yang dikenakan PKP adalah negeri yang berisiko tinggi hasil penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan tahap keupayaan perkhidmatan kesihatannya telah hampir mencapai kapasiti maksimum.

PEGAWAI Turus Ketenteraman Awam IPK Melaka, Nik Ab Halim Nikmat (tengah) bersama Lt. Kol. Jamaluddin Mahamood (kanan) dari Rejimen 514 Askar Wataniah (Rej 514 AW) Kem Bukit Beruang memeriksa pengguna jalan raya dalam Sekatan Jalan Raya (SJR) di pintu masuk utama Bandaraya Melaka dilaksanakan di negeri ini yang bermula jam 120.1 pagi, susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi menangani penularan Covid-19 ketika tinjauan di Plaza Tol Ayer Keroh. Foto: MR. AZLI

KKM akan membuat penilaian risiko secara berterusan bagi memutuskan sama ada pelaksanaan PKP ini akan ditamatkan atau diteruskan sebelum tempoh dua minggu berkenaan tamat.

Untuk rekod, PKP pertama kali diumumkan oleh Perdana Menteri pada 16 Mac tahun lepas di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967.

Pelaksanaan PKP bermula 18 Mac hingga 4 Mei sebelum kerajaan membuat keputusan melonggarkan PKP dan menggantikannya dengan PKP Bersyarat (PKPB) pada 4 Mei 2020 dan seterusnya PKP Pemulihan (PKPP) bermula 10 Jun 2020.

TENTERA dan Polis Melaka mula melaksanakan sekatan jalan raya (SJR) memeriksa kenderaan yang keluar masuk ke negeri ini susulan pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama 14 hari bermula 13 sehingga 26 Januari ini. FOTO/ MR Azli

Bagaimanapun, susulan penularan mendadak kes COVID-19 dalam komuniti tempatan yang didakwa sesetengah pihak berpunca daripada pelaksanaan Pilihan Raya Negeri Sabah pada September lepas.

PKP kemudian dilihat kembali menjadi pertimbangan utama Kerajaan Persekutuan sehingga pelaksanaannya semula terpaksa diumumkan Perdana Menteri Isnin lalu.

Views:

1450
Kongsi :
Previous post PKP: Mini Malaysia & ASEAN Cultural Park tutup mulai esok
Next post Gempa bumi di Irian Jaya, Indonesia
Ubah saiz-+=