PKPD di Penjara Sungai Udang disambung

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

AYER KEROH 15 Feb. – Kerajaan bersetuju menyambung Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Penjara Sungai Udang bermula 17 hingga 2 Mac depan berikutan peningkatan kes COVID-19 masih berlaku dalam kalangan tahanan di penjara itu.

Menteri Kanan (Keselamatan) merangkap Menteri Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan sebelum ini telah melaksanakan PKPD di Penjara Sungai Udang dan Kuarters Kakitangan yang dijadualkan tamat esok.

Katanya, sehingga kini Kementerian Kesihatan (KKM) sudah melaksanakan 1,234 ujian saringan dan
daripada jumlah itu, secara kumulatif, sebanyak 331 kes telah direkodkan.

“KKM mengesahkan peningkatan kes masih berlaku dalam kalangan tahanan dan terdapat baki 21 sampel saringan yang sedang menunggu keputusan.

“Bagaimanapun, penularan kes positif COVID-19 ini tidak melibatkan kakitangan dan ahli keluarga yang tinggal di kuarters.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP, kerajaan bersetuju untuk melanjutkan PKPD di Penjara Sungai Udang bermula 17 Februari sehingga 2 Mac 2021,” katanya dalam satu kenyataan mengenai Perintah Kawalan Pergerakan hari ini.

Ismail Sabri berkata, bagaimanapun PKPD dikecualikan bagi mereka yang tinggal di Kuarters Kakitangan dan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) Penjara Sungai Udang yang ditamatkan esok seperti dijadualkan.

Terdahulu, Penjara Sungai Udang dan kuarters kakitangannya berkeluasan 130 hektar dengan had kapasiti boleh menampung 2,000 orang banduan dikenakan PKPD pada 3 Februari lalu.

Ia berikutan peningkatan mendadak kes kalangan tahanan dan kakitangan penjara terbabit dengan 113 daripada 339 individu yang disaring disahkan positif pada 31 Januari.

Pada awalnya kes positif direkodkan membabitkan 79 tahanan, 22 kakitangan penjara dan 12 ahli keluarga mereka.

Views:

718
Kongsi :
Previous post Anggota polis disyaki terbabit gangguan seksual dikeluarkan daripada penugasan SJR
Next post Kluster Teknologi Lot Enam, kluster terbaharu di Melaka
Ubah saiz-+=