PM ucap terima kasih kepada pasukan SAR

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

MACHAP JAYA 25 Disember – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan terima kasih kepada kesemua pegawai dan anggota yang terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, di Jalan Batang Kali-Gohtong.

Ucapan itu disampaikan oleh Setiausaha Politik Kanan beliau, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin yang mewakili Anwar menyampaikan sumbangan berjumlah RM80,000 kepada dua keluarga dari Machap yang terbabit dalam insiden yang mengorbankan seramai 31 mangsa.

Shamsul berkata, Perdana Menteri dan kerajaan memandang tinggi terhadap usaha yang dijalankan oleh pasukan penyelamat yang bertungkus lumus sejak hari pertama kejadian.

“Perdana Menteri menyampaikan rasa terima kasih begitu mendalam kepada seluruh pasukan SAR yang bertungkus lumus sehingga semalam. Kita syukur apabila semua mangsa dapat ditemui.

“Ini tentunya menuntut kepada suatu komitmen kerja yang tidak mengenal penat lelah, cuaca hujan dan sebagainya meskipun bahaya kepada mereka. Alhamdulillah ia dapat disempurnakan dengan baik,” katanya.

Hadir bersama beliau ke rumah mendiang pasangan Lai See Tin dan Lai Chee Sam serta mendiang Yu Siew Pay dan Tai Chan Lin adalah Timbalan Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) (Sektor Pasca Bencana) Datuk Khairul Shahril Idrus dan Ahli Dewan Undangan (Adun) Machap Jaya, Ngwe Hee Sem.

Menurut Shamsul, kerjasama pasukan dan semangat tinggi yang ditunjukkan pasukan SAR perlu dicontohi oleh agensi yang lain dalam memberi khdimat terbaik.

“Tentunya Perdana Menteri dan kerajaan memandang tinggi terhadap usaha mereka ini dan kita harap ini menjadi contoh kepada agensi lain supaya dapat bekerja sebagai satu pasukan dengan bersungguh-sungguh untuk memberi khidmat terbaik.

“Diharap dengan sumbangan ini ia sedikit sebanyak dapat meringankan beban yang terpaksa ditanggung dengan pemergian ahli keluarga. Kejadian ini amat menyedihkan bukan sahaja kepada keluarga malah seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1414
Kongsi :
Previous post Lelaki maut, rakan cedera parah motosikal dihempap pokok
Next post Mangsa lemas di Lata Tembakah dijumpai
Ubah saiz-+=