
PMR 2025 MELAKA TAMPIL PELBAGAI PENGISIAN BERTERAS SEMANGAT PERTAHANAN, ASPIRASI MADANI
Bertemakan ‘Aspirasi MADANI, Menjamin Pertahanan dan Kedaulatan Negara’, program tiga hari di Politeknik Merlimau, Jasin itu dianjurkan Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), Pejabat Perdana Menteri dengan kerjasama strategik Kementerian Pertahanan (Mindef) dan kerajaan Melaka selaku penganjur bersama.
Menariknya, edisi kali ini menampilkan pameran aset dan peralatan ketenteraan yang membolehkan orang ramai melihat secara lebih dekat elemen pertahanan negara serta memahami konsep Pertahanan Menyeluruh (HANRUH) berasaskan semangat mempertahankan tanah air melalui pendekatan ‘keseluruhan kerajaan dan keseluruhan masyarakat’.
Program berkenaan turut disemarakkan dengan demonstrasi dan persembahan khas Angkatan Tentera Malaysia termasuk anjing perang, kawad senyap, drumline, terjun bebas, gun in action, lintas hormat pesawat Hawk serta demonstrasi tempur tanpa senjata.
Selain pameran ketenteraan, pelbagai perkhidmatan langsung agensi Persekutuan dan negeri turut disediakan termasuk Jualan MADANI, Jualan Agro, program penukaran minyak enjin motosikal, penukaran topi keledar percuma oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta perkhidmatan gunting rambut percuma.
Di pentas utama, kemeriahan program diserikan dengan persembahan Mari Berselawat Bersama Raihan, Persembahan Murid Gema Perpaduan Generasi MADANI, Peragaan Busana Ketenteraan serta Konsert Rock Kapak yang menampilkan artis legenda seperti Datuk Ramli Sarip, Black Mentor, Akim dan Stacy.
Turut diadakan Pocket Talk: Kempen Internet Sihat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta sesi Terokai Peluang Peningkatan Kemahiran, Laluan Kerjaya Baharu di platform MyMAHIR, yang memberi peluang kepada pengunjung meneroka laluan kerjaya dan pembangunan kemahiran.
Program yang berlangsung dari 9 pagi hingga 11 malam pada Jumaat dan Sabtu, dan 9 pagi hingga 6 petang pada Ahad, memberi ruang kepada pelbagai kementerian dan agensi mempamerkan inisiatif serta perkhidmatan digital mereka selain berinteraksi secara langsung dengan rakyat.
Kemuncak program dijadualkan berlangsung pada Ahad (19 Okt) dengan program Kenduri Rakyat bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sebagai lokasi penutup siri PMR tahun ini, pemilihan Melaka dibuat mengambil kira reputasinya sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia yang terkenal dengan warisan dan budaya, selain menonjol sebagai negeri progresif berteraskan inovasi, kemajuan teknologi serta kesejahteraan rakyat, seiring aspirasi Malaysia MADANI. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.