Polis Melaka nafi keluarkan kompaun kerana logo parti

Masa Membaca:1 Minit, 56 Saat

AYER KEROH 11 Nov – Polis Melaka menafikan dakwaan pihaknya mengeluarkan kompaun berjumlah RM4,000 kerana memakai lambang parti sebaliknya kompaun itu dikeluarkan berikutan wujud pelanggaran prosedur operasi standard (SOP).

Ketua Polis Melaka, Datuk Wira Abdul Majid Mohd Ali berkata, malah kompaun berkenaan dikeluarkan kepada individu yang dipercayai menganjurkan program ‘walkabout’ parti berkenaan dan bukan kepada individu yang memakai ves logo parti.

Katanya, hasil pemantauan menerusi media sosial mendapati seorang individu yang menggunakan nama Fahmi Fadzil di akaun Twitter dan Facebook memuat turun gambar berkumpul di kedai makan beramai-ramai yang turut dihadiri Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim serta individu memakai ves logo parti.

“Difahamkan kejadian berlaku pada 10 Nov dan susulan gambar yang dimuat naik itu, pasukan pemantauan media sosial membuat laporan pada pada jam 6.44 semalam sebelum kertas siasatan dibuka bagi membolehkan individu yang terdapat dalam gambar berkenaan dipanggil untuk memberi keterangan.

“Dalam kes ini, wujud pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) yang mana tiada penjarakan sosial selain menganjurkan program ‘walkabout’ yang tidak dibenarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sepanjang tempoh Pilihan Raya Negeri (PRN).

Beliau berkata demikian ketika ditemui Melaka Hari Ini (MHI) di pejabatnya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, di sini hari ini.

GAMBAR Twitter dan program ‘walk about’ yang dianjurkan PH

Mengulas lanjut, beliau berkata berikutan itu polis mengeluarkan kompaun berkenaan kepada seorang individu yang tidak memakai baju logo parti sekali gus menafikan dakwaan pemilik akaun Facebook berkenaan yang mengatakan polis mengenakan kompaun kerana memakai baju logo itu.

“Berdasarkan pengakuan dibuat oleh subjek (individu yang dipanggil) berkenaan, kita terus mengeluarkan kompaun terbabit dan dalam kes ini (pengeluaran kompaun) bukan disebabkan kerana pakai baju parti, tetapi disebabkan program ‘walk about’ yang dijalankan.

“Sekiranya individu berkenaan tidak berpuas hati dengan jumlah kompaun dikeluarkan, dia boleh mengemukakan rayuan kepada KKM sama ada memohon pengurangan kompaun atau siasatan lanjut oleh agensi berkenaan untuk tindakan seterusnya di mahkamah,” katanya.

Terdahulu, Fahmi Fadzil yang juga Pengarah Komunikasi PKR dalam status Twitter menulis ‘Gila, pakai lambang Pakatan Harapan pun kena kompaun, Sebab lambang kan sebar virus. Cuma bukan virus covid, tapi virus demokrasi. Itu virus yang mereka paling takut.

Beliau turut memuat turun gambar program di laman Facebook namun telah dipadamkan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

745
Kongsi :
Previous post ‘Bossku’ santuni penduduk Kampung Balik Batu
Next post SOP ketat cabaran calon baharu dekati pengundi
Ubah saiz-+=