
POLIS MELAKA PANGGIL PEMPENGARUH YOUTUBE TERKENAL
AYER KEROH 5 Mei – Gara-gara video tular menunggang kenderaan mikromobiliti di jalan raya awam, semalam, Polis Melaka akan memanggil pempengaruh YouTube terkenal, Isa Isarb.
Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, tindakan itu diambil selepas pihaknya mengesan satu video tular berdurasi 22 saat yang dimuat naik di aplikasi TikTok kira-kira jam 11.50 pagi tadi.
Ujar beliau, hasil siasatan mendapati, kenderaan mikromobiliti atau ‘electric bike’ (e-Bike) berkenaan dipercayai telah diubah suai dengan dipasang bumbung ditunggang seorang lelaki bersama dua pembonceng lelaki di Lampu Isyarat Lee Rubber Lebuh Alor Gajah–Melaka Tengah–Jasin (AMJ).
“Pada jam 1 tengah hari tadi, kita berjaya mengesan penunggang e-bike tersebut yang menggunakan akaun TikTok @Isa Isarb.
“Polis turut membuat pemeriksaan keatas sebuah motosikal bernombor plat MDJ1154 yang didaftarkan atas nama Isa Isarb dipercayai merakam aksi kenderaan mikromobiliti berkenaan,” katanya kepada pemberita dalam satu kenyataan malam ini.
Menurut Dzulkhairi pihak polis telah menghubungi pempengaruh berkenaan dan dimaklumkan dia kini berada di Sabah atas urusan perniagaan sehingga 16 Mei ini.
“Penama telah diminta untuk hadir ke Pejabat Penguatkuasa Polis Peronda Lebuh Raya (HMPV) Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPTD) Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah untuk diambil keterangan.
“Beliau mengesahkan akan hadir bersama peguam pada 17 Mei ini,” katanya.
Tambah beliau, siasatan awal mendapati kenderaan terbabit termasuk dalam kategori kenderaan mikromobiliti yang penggunaannya di atas jalan raya adalah dilarang di bawah Kaedah 3(1), Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan (Larangan Penggunaan Kenderaan Mikromobiliti Tertentu) 2021.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.