Polis Melaka pantau rumah mangsa banjir, elak kecurian harta benda

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

AYER LIMAU 18 Dis – Polis Melaka akan menggerakkan anggotanya ke lokasi terjejas banjir bagi membuat pemantauan berkala selama 24 jam.

Ketua Polis Melaka Datuk Wira Abdul Majid Mohd Ali berkata, pemantauan itu dilakukan bagi memastikan tidak berlaku sebarang kes kecurian melibatkan rumah mangsa-mangsa banjir.

“Saya telah meminta Ketua Polis Daerah Melaka Tengah menggerakkan 25 anggota mereka ke kawasan terjejas banjir khususnya di daerah Alor Gajah.

“Ini bagi memberikan bantuan kecemasan untuk memastikan rumah-rumah yang ditinggalkan mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) tidak berlaku kecurian.

“Pada masa sama, saya juga mengarahkan Ketua Balai untuk berada di balai selama 24 jam bagi memastikan tahap keselamatan dan memberikan respon segera kepada keperluan masyarakat di kawasan yang terjejas banjir,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lubok China yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Limau Hameed Mytheen Kunju Basheer.

Dalam pada itu mengulas mengenai keadaan semasa Balai Polis Lubok China yang dinaiki air pagi tadi, Abdul Majid berkata, pihaknya telah memindahkan segala dokumen dan peralatan keselamatan termasuk senjata ke Balai Polis Kuala Sungai Baru.

Beliau berkata, pihaknya juga bersedia dengan sebarang kemungkinan untuk membantu tugas menyelamat sekiranya hujan lebat masih turun pada malam ini sehingga esok.

“Kita telah meminta bantuan Polis Marin untuk menghantar bot bantuan teruitamanya jika berlaku hujan lebat dan air pasang bagi membantu urusan memindahkan mangsa banjir.

“Pada masa sama, kita mengucapkan terima kasih kepada ADUN kawasan yang sentiasa menjaga kebajikan anggota di kawasan ini termasuk memberikan bantuan makanan dan minuman sepanjang melaksanakan tugas membantu mangsa banjir,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

673
Kongsi :
Previous post MetMalaysia ramal hujan sehingga esok, daerah Alor Gajah antara terkesan
Next post Sang Bedal sesat atas Jambatan Linggi
Ubah saiz-+=