Polis siasat gambar tular bungkusan makanan diselit RM50

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

AYER KEROH 5 Nov – Polis Melaka membuka kertas siasatan berhubung gambar tular di laman sosial pemberian bungkusan makanan yang diselitkan wang tunai RM50 didakwa mempunyai unsur politik untuk meraih undi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, Asisten Komisioner Azlan Abu berkata, gambar tersebut telah dimuatnaik semalam dan tular selepas bungkusan makanan berserta duit itu didakwa berlaku di Melaka.

“Gambar itu telah dimuatnaik oleh beberapa akaun media sosial Facebook yang menunjukkan terdapat beberapa makanan telah diselitkan wang tunai RM50.

“Turut disertakan kapsyen gambar yang mengatakan bahawa kejadian itu berlaku di Melaka dan komen-komen mendakwa program itu berunsurkan politik bagi tujuan meraih undi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 20 Nov ini.

“Hasil semakan pihak polis terdapat satu klip video berkenaan kejadian itu menunjukkan agihan bantuan makanan dan wang tunai RM50 kepada warga emas.

“Bagaimanapun, dalam klip tersebut kita tidak mengesan sebarang aktiviti meraih undi atau apa-apa lambang atau elemen parti politik,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Susulan itu, pihaknya telah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Beliau mengingatkan agar orang ramai tidak menyebarkan sebarang maklumat tidak sahih atas tujuan dan kepentingan sendiri.

“Jika disabitkan kesalahan, individu boleh berdepan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau hukuman penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, sejak 25 Oktober lalu sehingga semalam, pihak polis Melaka telah membuka sebanyak 16 kertas siasatan dan lima kompaun pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) dikeluarkan membabitkan PRN.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

715
Kongsi :
Previous post DUN Sarawak bubar, beri laluan PRN
Next post PRN Melaka: BN adakan sidang media esok, jam 10 pagi
Ubah saiz-+=