Polis siasat rusuhan pekerja Bangladesh di Pantai Puteri

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

PANTAI PUTERI 14 Ogos –  Polis sedang menjalankan siasatan terhadap rusuhan berlaku di asrama pekerja warga asing di sebuah kilang di Pantai Puteri, Tanjung Kling, Khamis lalu.

Rusuhan dipercayai berpunca daripada provokasi pekerja kilang yang tidak berpuas hati terhadap pengawal keselamatan bertugas menguruskan salah seorang rakan mereka yang dilaporkan tidak sedarkan diri.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asistan Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, dalam kejadian pada Khamis sekitar 10.30 malam itu,  sekumpulan pekerja warganegara Bangladesh mula melakukan kekecohan dan rusuhan.

“Kekecohan berlaku apabila salah seorang dari pekerja Bangladesh tidak berpuas hati dengan tindakan pengawal keselamatan ketika membantu salah seorang rakan mereka yang tidak sedarkan diri.

“Keadaan itu menyebabkan berlaku rusuhan di pintu pagar hadapan asrama itu yang mempunyai empat blok dan turut dihuni oleh pekerja warganegara Vietnam, Myanmar dan Nepal,” katanya ketika dihubungi.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad

Menurut Afzanizar siasatan awal mendapati pekerja yang tidak sedarkan diri telah dibawa turun dari asrama oleh pengawal keselamatan sebaik ambulans tiba bagaimanapun  disahkan meninggal dunia ketika itu.

“Sebelum itu, sekumpulan suspek melontar batu ke arah pengawal keselamatan dan kakitangan petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan bertindak merosakkan pondok pengawal yang terletak di bahagian hadapan asrama terbabit.

“Bagaimanapun pengawal keselamatan dan petugas KKM berjaya keluar dari kawasan asrama berkenaan dan tiada sebarang kecederaan diterima malah keadaan kembali terkawal selepas disuraikan pihak polis,” katanya.

Mengulas lanjut, Afzanizar berkata, polis masih meneruskan siasatan  dan tiada tangkapan dilakukan setakat ini berikutan kesemua kira-kira 670 pekerka asing telah diarahkan menjalani perintah kuarantin selepas menjalani ujian saringan COVID-19 dan dipakaikan gelang merah jambu.

“Kita menasihatkan orang ramai agar tidak bimbang dan panik dalam situasi ini kerana ia masih terkawal dengan kes ini akan diisiasat di bawah Seksyen 148 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1155
Kongsi :
Previous post COVID-19: Bekas pemuzik orkestra jual buah
Next post Lebih 10 juta lengkap dua dos vaksin setakat semalam
Ubah saiz-+=