
POLIS TAHAN TIGA LELAKI, RAMPAS DADAH BERNILAI RM4.16 JUTA
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan berkata kesemua suspek yang ditahan dalam operasi pada 4.15 petang hingga 6.10 petang itu berusia 25 hingga 46 tahun.
“Dalam serbuan pertama di pekarangan sebuah kondominium di sekitar Bukit Jalil, Kuala Lumpur, polis menahan seorang lelaki tempatan dan seorang warga Pakistan dengan pemeriksaan pada tubuh serta kereta suspek menemukan ganja seberat 26.73 kilogram (kg).
“Susulan itu, pemeriksaan di sebuah unit di kondominium berkenaan telah berjaya membongkar stor simpanan pelbagai jenis dadah termasuk bunga ganja, ketamin dan syabu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di sini hari ini.
Sementara itu, Hussein berkata suspek ketiga yang merupakan warga tempatan pula ditahan di sekitar Ayer Molek, di sini dan pemeriksaan di dalam kereta yang dipandu lelaki itu menemukan dadah jenis heroin base dengan anggaran berat 18.25kg, di samping pelbagai dadah jenis lain.
“Secara keseluruhan, dadah yang dirampas adalah ganja (94.84kg), ketamin (42.23kg), heroin base (18.25 kg), bunga ganja (2.58kg), pil eramin 5 (810 gram) dan syabu (143 gram) bernilai kira-kira RM4.16 juta.
“Selain dadah, polis turut menyita sebuah Toyota Estima yang dianggar bernilai RM70,000 serta merampas dua lagi kenderaan, iaitu Perodua Myvi dan Toyota Estima dengan nilai keseluruhan rampasan dan sitaan berjumlah RM4.23 juta,” katanya.
Hussein berkata risikan mendapati sindiket telah bergiat aktif sejak April lepas dan jumlah keseluruhan dadah yang dirampas boleh digunakan 2.815 juta penagih.
Beliau berkata saringan awal air kencing mendapati seorang daripada tiga suspek positif dadah jenis Tetrahydrocannabinol (THC) manakala dua daripada mereka mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.
“Kesemua suspek direman tujuh hari bermula 14 Ogos untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.