Pondok Polis Chabau ‘port’ pelancongan bersejarah baharu

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

RIM 15 April – Pondok Polis Chabau bakal dijadikan ‘port’ pelancongan bersejarah baharu sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rim Datuk Khaidhirah Abu Zahar berkata, pondok polis dibina pada 1910 itu menyimpan pelbagai peninggalan sejarah dan warisan.

“Pertama kali singgah di pondok polis ini saya dapat lihat ia mempunyai nilai sejarah yang sangat banyak, reka bentuk lokapnya sangat klasik dan unik.

“Kalau boleh kita pamerkan semula pakaian seragam anggota polis dan kelengkapan lain digunakan pada zaman itu. Sebab itu saya berharap Kerajaan Negeri ambil perhatian tentang produk baharu ini untuk jadikan ia sebagai lokasi pelancongan bersejarah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini ketika ditermui pada penganjuran Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim di Dewan Kolej Vokasional Datuk Seri Abu Zahar Isnin, di sini, semalam.

Terdahulu rumah terbuka berkenaan dihadiri Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam dan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari; Exco Belia, Sukan dan NGO negeri, VP Shanmugam; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan serta Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr. Muhammad Akmal Saleh.

Turut hadir Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Zulkiflee Mohd Zin dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Melaka (MCORP), Datuk Mohd Yusof Abu Bakar.

Mengulas lanjut, Khaidhirah yang juga Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri berkata, pondok polis berkenaan juga dipercayai antara lima pondok polis terawal yang dibina di Malaysia.

“Saya berani katakan bahawa lima balai polis terawal dibina di Malaysia berada di Melaka. Bangunannya masih baik, ia diselenggara Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) kerana telah diwartakan sebagai salah satu tapak warisan di negeri ini.

“Jadi saya harap ia menjadi salah satu tarikan untuk orang datang ke Kampung Chabau, sekali gus merancakkan sektor ekonomi di Melaka,”katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

557
Kongsi :
Previous post Penuntut IKTBN maut motosikal terbabas akibat jalan licin
Next post Banjir: 3 PPS dibuka di Melaka, tempatkan 122 mangsa
Ubah saiz-+=