Penuntut IKTBN maut motosikal terbabas akibat jalan licin

Masa Membaca:59 Saat

AYER LIMAU 15 April – Seorang penuntut Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Masjid Tanah maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas lalu dirempuh sebuah kereta di Jalan Lubok China, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.20 petang, mangsa, Muhammad Izzul Irsyad Muhammad Nizam, 30, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan perut.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal Yamaha R15 sedang dalam perjalanan dari arah Pekan Lubok China menghala ke Ramuan China Kechil.

Menurutnya, kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal ditunggang mangsa hilang kawalan dan telah terjatuh akibat jalan licin sebelum dirempuh sebuah kereta jenis Honda City dari arah bertentangan.

“Akibat pelanggaran itu mangsa telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu kereta yang  berusia 42 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah dan Pol 61 telah dikeluarkan bagi menjalankan bedah siasat,” katanya.

Beliau berkata, kenderaan terlibat kemalangan telah dibawa ke Balai Polis Trafik Alor Gajah untuk pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

601
Kongsi :
Previous post Tujuh kawasan terjejas banjir kilat
Next post Pondok Polis Chabau ‘port’ pelancongan bersejarah baharu
Ubah saiz-+=