
MISI LAHIR GENERASI AL-QURAN PENGGERAK UMMAH, KADJ PERLUKAN SOKONGAN
KOTA LAKSAMANA 14 Oktober – Usaha melahirkan generasi celik al-Quran yang mampu menjadi penggerak ummah mendorong Persatuan Kebajikan dan Pendidikan Al-Quran Malaysia (PERKAMA) menggerakkan kempen kutipan dana bagi merealisasikan pembinaan Kompleks Al-Quran Darul Jannah (KADJ).
Pengerusi PERKAMA, Johari Hussain berkata, kompleks berkenaan bakal menjadi pusat khusus bagi menyokong pelaksanaan aktiviti pendidikan dan pengajian al-Quran yang diusahakan persatuan itu.
Katanya, pembinaan KADJ amat diperlukan memandangkan aktiviti pembelajaran yang dijalankan selama ini bergantung kepada kemudahan masjid, surau dan bangunan yang disediakan pihak tertentu.
Bagaimanapun, kekurangan dana masih menjadi cabaran dalam meneruskan pembangunan kompleks berkenaan, sekali gus mendorong pihaknya mendapatkan sokongan masyarakat bagi merealisasikan hasrat itu.
“Alhamdulillah, gerak kerja pembangunan kompleks ini sudah bermula, tetapi kita masih berdepan kekurangan dana.
“Saya sentiasa berdoa agar ada insan yang sudi membantu perjuangan ini supaya usaha melahirkan generasi al-Quran dapat diteruskan,” katanya kepada pemberita pada sidang media inisiatif kutipan dana bagi merealisasikan pembinaan KADJ di sebuah hotel, di sini, hari ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Haza Group Company Datuk Ridzuan Ishak berkata, pihaknya menjalin kerjasama strategik dengan PERKAMA dengan menyumbang RM60,000 bagi membantu menjayakan pembangunan kompleks berkenaan.
Katanya, kempen kutipan dana awam itu membuka peluang kepada orang ramai untuk turut menyumbang mengikut kemampuan masing-masing demi merealisasikan matlamat berkenaan.
“Usaha merealisasikan KADJ memerlukan komitmen bersama kerana inisiatif sebesar ini tidak dapat digerakkan oleh satu pihak sahaja, sebaliknya memerlukan perancangan teliti, kerjasama kukuh dan sokongan pelbagai lapisan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata, kepercayaan masyarakat menjadi asas penting dalam menjayakan kempen kutipan dana itu, justeru ketelusan dan tadbir urus yang baik perlu diberikan perhatian bagi memastikan setiap sumbangan diuruskan secara amanah dan bertanggungjawab.
Ridzuan berharap orang ramai, rakan korporat serta badan berkaitan dapat bersama-sama menyokong usaha berkenaan menerusi saluran sumbangan yang disediakan.
Orang ramai yang ingin menyumbang bagi membantu merealisasikan pembinaan KADJ boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Agrobank atas nama PERKAMA Kompleks Al-Quran Darul Jannah, bernombor 1005601000079475.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

