Potensi pulau di Melaka diiktiraf geopark menjelang 2026

Masa Membaca:2 Minit, 9 Saat

TELOK MAS 23 Oktober – Empat kawasan geotapak di Melaka iaitu Pulau Undan, Pulau Upeh, Pulau Besar dan Tanjung Tuan berpotensi diangkat sebagai Geopark Kebangsaan selepas kajian terhadap semua kawasan itu selesaikan dilaksanakan.

Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains Negeri Sembilan dan Melaka, Siti Aminah Abdul Sarif berkata, hasil kajian awal menerusi Pelan Pembangunan dan Pengurusan Geopark yang bermula Mei tahun lalu mendapati keempat-empat lokasi ini mempunyai keunikan geologi, biodiversiti dan kepelbagaian budaya.

Katanya, karakter atau ciri yang ada di empat kawasan ini mampu menjadi tumpuan pelancong bukan sahaja sekadar menikmati alam sekitar malah berunsurkan pelancongan ilmiah.

Beliau berkata, kajian ini dijangka mengambil masa sehingga tahun 2026 berikutan perlu melalui pelbagai peringkat kajian selain turut melibatkan jabatan dan agensi lain.

“Kalau dilihat di Tanjung Tuan, kompleks batuan yang ada di kawasan itu berusia sehingga 400 juta tahun manakala di Pulau Besar jika melihat pada unjuran banjaran granit Titiwangsa menganjur hingga ke pulau itu, kita boleh lihat fitur geologi yang ada.

“Di Pulau Undan, kita lihat ada tombolo (pembentukan beting pasir) yang berubah mengikut musim, yang mana itu adalah formologi menarik selain di rumah api terdapat bongkah hasil pembentukan geologi,” katanya ketika ditemui pemberita pada Program Kesedaran Awam dan Promosi Geotapak Pulau Besar, Melaka.

Hadir sama Timbalan Pengarah Perancangan dan Pemantauan Pembangunan, JMG Malaysia, Noorazhar Ngatimin; Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Pulau-Pulau Melaka (MPPM), Azhar Yaacob dan Timbalan Pengarah Perikanan Melaka, Nawar Abd Karim.

IMG_2374
Timbalan Pengarah Jabatan Perikanan Melaka, Nawar Abd Karim ditemui di Pusat Informasi Pulau Besar, Melaka. Foto Iqmal Haqim Rosman

Mengulas lanjut, Siti Aminah berkata keunikan yang ada di Melaka ialah gabungan daripada beberapa pulau.

“Program yang dilakukan hari ini adalah salah satu skop untuk memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai geopark adalah pelancongan baharu kepada Melaka dan untuk menjadi geopark, mesti ada elemen ‘community-based’, selain geodiversiti flora dan fauna serta budaya,” katanya.

Sementara itu, Noorazhar berkata JMG bagaimanapun berdepan sedikit kekangan berkaitan masalah persempadanan Tanjung Tuan yang terletak antara Negeri Sembilan dan Melaka.

Katanya, pada peringkat awal JMG cuba perkenalkan produk baharu dahulu iaitu Geotapak Kepulauan kepada Melaka yang lebih bertumpu kepada pelancongan pendidikan sebagai pendekatan baharu dalam membangunkan pelancongan semulajadi.

“Jika dapat diselesaikan isu persempadanan itu, kita boleh mengangkat perkara itu kepada Jawatankuasa Pelaksana Geopark dahulu dan selepas diterima kita akan angkat ke Jawatankuasa Pelaksana Geopark Kenangsaan,” katanya.

IMG_2375
Timbalan Pengarah Perancangan dan Pemantauan Pembangunan, Noorazhar Ngatimin ditemui di Pusat Informasi Pulau Besar, Melaka. Foto Iqmal Haqim Rosman

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1286
Kongsi :
Previous post Pengakap sasar sejuta keahlian seluruh negara
Next post PTD terima beret merun dan sayap penerjunan kanan
Ubah saiz-+=