Pengakap sasar sejuta keahlian seluruh negara

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

TANJUNG BIDARA 23 Oktober – Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) menyasarkan jumlah keahliannya meningkat kepada satu juta orang pada tahun hadapan.

Naib Yang Dipertua Majlis Pengakap Negara, Datuk Zamani Tambichek berkata, pihaknya akan menyusun atur pelbagai perancangan tahun hadapan bagi memastikan senarai 600,000 keahlian direkodkan setakat tahun ini meningkat.

Menurutnya, cadangan penukaran uniform lama kepada rekaan baharu yang akan diperkenalkan tahun hadapan disasarkan akan menarik lebih ramai keahlian dalam PPM.

“Kita akan susun atur mulai tahun hadapan dan perancangan ini akan dilihat semula bermula Disember nanti.

“Malah kita juga akan memperkenalkan Program ‘Community Scout’ yang mana kita akan menarik lebih ramai untuk menyertai pengakap dalam komuniti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutupan Program Jota-Joti 2023 di Kem Pengakap Datuk Tambichik Karim di Pantai Padang Kemunting, Pengkalan Balak, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Melaka, Ibrahim Md. Nor dan Pegawai Pemerintah 21 Rejimen Grup Gerak Khas (GGK), Leftenan Kolonel Razak Akob.

Terdahulu, kira-kira 400 ahli pengakap Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) telah menyertai Program Jota-Joti 2023 (Jambori Di Udara dan Jambori Di Internet) diadakan selama dua hari bermula Sabtu.

Program jambori diadakan serentak seluruh dunia itu membabitkan perhimpunan secara maya , sekali gus mengukuhkan lagi jambatan persahabatan dalam kalangan ahli pengakap.

Sementara itu dalam perkembangan lain beliau turut mengulas mengenai usaha akan dijalankan PPM dalam memartabatkan pendidikan menerusi sains, teknologi, kejuruteraan, kesenian dan matematik (STEAM) dijangka dimulakan tahun hadapan.

“Misi PPM untuk menjadi pertubuhan pendidikan golongan muda terunggul, moden dan berdikari. Kami akan melatih golongan muda negara menjadi warganegara aktif yang akan menjadi ejen perubahan positif kepada masyarakat.

“PPM telah menggariskan 11 Fokus Utama Hala Tuju Pengakap Negara iaitu yang paling utama adalah pendigitalan dalam pengakap. Antara fokus yang digariskan PPM juga merangkumi usaha pemerkasaan STEAM,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1080
Kongsi :
Previous post Pengurus besar GLC rugi lebih RM106,000 angkara ‘phone scam’
Next post Potensi pulau di Melaka diiktiraf geopark menjelang 2026
Ubah saiz-+=