Potret istimewa dari kaki lima

0
345
PAK Daud menunjukkan antara hasil kerjanya ketika ditemui di Kompleks Perniagaan Al-Azim Bukit Palah, baru-baru ini.

JIKA melihat kepada keindahan dan ketelitian potret wajah yang dibeli di kaki lima Kompleks Perniagaan Al-Azim, di Bukit Palah di sini, tiada siapa dapat menjangka ia dihasilkan oleh seorang insan istimewa.

Menariknya, insan istimewa itu ialah seorang pelukis jalanan yang juga merupakan seorang lelaki orang kelainan upaya (OKU).

Sebaik mengasah mata pensel dan memulakan lorekannya di atas sebuah kertas berwarna putih, pengunjung yang melihatnya pasti terkesima dengan bakat yang diperolehi insan bernama Daud Baharin itu.

Dari hobi kepada mata pencarian

Daud atau mesra dipanggil Pak Daud, 55, memulakan harinya setiap hari dengan berbekalkan sebatang pensel 8B bersama senaskhah kertas lukisan dan menjadikan kaki lima sebagai lubuk rezekinya.

Bapa kepada seorang anak perempuan itu berkata, dia sememangnya meminati dunia lukisan sejak kecil lagi.

Namun, dia yang kehilangan isteri lapan tahun lalu berkata, lukisan hanyalah sebagai hobi suka-suka pada ketika itu dan tidak pernah menjangkakan ia bakal menjadi sumber pendapatannya selepas bergelar insan istimewa.

“Masa dulu saya memang suka melukis. Kemudian lukisan itu saya sorokkan di bawah katil kerana saya malu untuk tunjukkan kepada orang.

“Tetapi salah seorang kawan saya dapat menemui lukisan yang disorok itu dan dari situlah dia memberitahu bahawa bakat saya setanding dengan pelukis jalanan yang lain dan boleh menjadikannya sebagai mata pencarian.

“Dari situlah segala-galanya bermula dan saya terus menggilap bakat itu sehinggalah menjadikannya sebagai sumber pendapatan sekarang,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini.

PAK Daud melukis dengan penuh teliti.

Sejarah hitam sebagai mat motor

Biarpun fizikalnya tidak seperti insan lain, namun Pak Daud wajar menjadi contoh tauladan terbaik yang membuktikan kekurangan bukanlah batas untuk bekerja keras demi sesuap nasi.

Bercerita mengenai detik hitam yang mengubah hidupnya, dia berkata segala-agalanya bermula kira-kira 35 tahun lalu selepas mengalami kemalangan di Bukit Putus, Negeri Sembilan.

Jelasnya, pada ketika itu jiwa mudanya sedikit memberontak dan gemar berlumba motosikal, namun tidak diduga akan ditimpa musibah yang mengubah hidup buat selama-lamanya.

“Selepas kemalangan, saya mengalami demam panas dan itu membuatkan saya kehilangan kaki dan tangan juga sudah tidak seperti manusia biasa yang lain.

“Kalau boleh saya memang tak nak ingat lagi apa yang saya buat dahulu. Nak kata menyesal pun tiada gunanya. Tapi mungkin ada hikmah tuhan mengubah saya seperti sekarang,” katanya.

Potret wajah serendah RM20

Menurut Pak Daud, sejak berkecimpung dalam karier itu, dia berupaya mendapatkan tiga ke empat pelanggan sehari dengan caj sekitar RM20 dan RM30 untuk lukisan wajah.

Bagaimanapun, dia mengakui ada segelintir yang seolah-olah ragu-ragu dengan kemampuannya apatah selepas melihat kepayahannya untuk memegang pensel untuk memulakan aktiviti melukis.

Namun, katanya semua riak negatif itu mula berubah selepas lukisan itu berjaya disiapkan dalam tempoh kira-kira 20 ke 30 minit.

“Saya tidak anggap diri saya sebagai pelukis yang paling hebat. Saya tahu lebih ramai yang hebat di luar sana. Tetapi saya tetap percaya ada rezeki untuk menyara keluarga dalam bidang ini.

“Saya bersyukur dengan rezeki yang saya peroleh selama ini. Bukan sahaja rezeki dalam bentuk wang ringgit tetapi juga rezeki dikelilingi ramai insan yang baik hati yang sering bersedekah dan membelikan makanan untuk saya sepanjang berada di sini,” ujarnya.

Tolak tawaran ke Jepun

Dia yang merupakan anak jati Kuala Pilah, Negeri Sembilan berkata, selain mencari makan di bumi bersejarah, dia juga pernah menjadikan Pasar Seni dan Jalan Masjid India, Kuala Lumpur sebagai ‘padang permainannya’ untuk mencari rezeki.

Malah, sejak bergelar pelukis dia juga pernah berkelana hampir di seluruh pelusuk negara termasuklah Terengganu dan Kedah, selain pernah dipelawa untuk berhijrah ke Jepun sebagai pelukis di sebuah galeri lukisan di negara matahari terbit itu.

“Memanglah tawaran itu tidak selalu datang, tetapi selepas difikir-fikirkan mungkin lebih baik untuk saya menolak tawaran itu.

“Selain mengenangkan keluarga, saya juga mungkin berdepan kesukaran untuk membiasakan diri di negara orang, tambah-tambah lagi dengan keadaan fizikal seperti ini,” katanya lagi.

Gunakan tulang empat kerat

Di akhir pertemuan, Pak Daud sempat memberi nasihat kepada anak muda di luar sana agar teruslah bekerja kuat sejak dari sekarang memandangkan keadaan ekonomi dunia yang tidak stabil ekoran pandemik COVID-19.

Katanya, mereka yang sihat dan normal perlulah sentiasa menggunakan tulang empat kerat mereka demi meneruskan kelangsungan hidup.

“Sejak zaman nenek moyang lagi sudah kata kalau tulang empat kerat kau elok, bekerjalah. Kalau tak bekerja itu maknanya dia sengaja dan malas.

“Selagi boleh kerja, kita kerjalah walau apa kerja sekali pun. Dalam hidup ini biasalah orang akan memandang serong dengan apa yang kita lakukan.

“Tapi nasihat saya, janganlah jadikan itu sebagai pelemah semangat sebaliknya kita perlu bangkit lebih kuat untuk membuktikan kepada orang lain kita boleh berjaya,” ujarnya.

Dia turut mengingatkan setiap keluarga agar tidak berputus asa dalam memberikan semangat kepada ahli keluarga masing-masing dalam apa jua yang dilakukan bagi memberi motivasi berkesan untuk mengecap kejayaan.