‘Terpukau’ komputer riba RM100,000

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

AYER KEROH 28 Okt. – Seorang pensyarah lelaki kerugian lebih RM100,000 selepas diperdaya sindiket penipuan dalam talian ketika membeli sebuah komputer riba bernilai RM1,900.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan E Sundra Rajan, berkata lelaki berusia 70-an itu hanya menyedari ditipu apabila ditegur anak lelakinya beberapa jam selepas melakukan pemindahan wang Ogos lalu.

“Mangsa melihat iklan secara ‘online’ sebelum tertarik dan berurusan dengan suspek untuk membeli komputer riba berkenaan.

“Pensyarah sebuah universiti swasta itu mendakwa, dia seolah-olah dipukau sehingga melakukan beberapa transaksi pemindahan wang ke akaun yang diberikan suspek.

“Mangsa hanya menyedari dia ditipu selepas ditegur anaknya beberapa jam selepas melakukan pemindahan wang keseluruhannya berjumlah RM101,900 walaupun harga asal komputer riba hanya RM1,900,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini (MHI) di pejabatnya di sini hari ini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mengulas Sundra berkata, orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati dalam dalam melakukan pemindahan wang ke akaun tidak dikenali serta terlebih dahulu menyemak nombor akaun yang meragukan.

“Semakan boleh dibuat melalui aplikasi mudah alih semakmule CCID untuk membolehkan masyarakat semak akaun bank dan nombor telefon yang mempunyai rekod jenayah secara sahih.

“Orang ramai boleh memuat turun aplikasi berkenaan di telefon bimbit untuk membuat semakan awal sebelum mereka menjadi mangsa penipuan,” katanya.

Views:

439
Kongsi :
Previous post Potret istimewa dari kaki lima
Next post COVID-19: Masyarakat mula alpa – Exco Kesihatan
Ubah saiz-+=