PPPPKMNM mohon PBT pindah peniaga bazar ke tempat lebih selamat, strategik

Masa Membaca:1 Minit, 56 Saat

MELAKA, 14 Dis – Pihak berkuasa tempatan (PBT) dicadang supaya segera memindahkan peniaga di Bazar Kraftangan Dataran Pahlawan Megamall, Banda Hilir ke kawasan lebih selamat dan strategik berikutan kejadian runtuhan siling yang berlaku baru-baru ini.

Penasihat Persatuan Peniaga, Penjaja, Pengusaha Kecil Melayu Cawangan Melaka Bandar (PPPPKMNM) Datuk Mohd Yusof Abu Hassan berkata langkah itu bagi mengelak risiko dan kejadian tidak diingini berulang di samping memastikan keselamatan mereka lebih terjamin.

“Antara tempat dicadangkan ialah di kawasan berhampiran padang rekreasi di atas Dataran Pahlawan yang dilihat lebih sesuai untuk peniaga kraftangan berpindah dari lokasi sedia ada di bawah tanah.

“Kita melihat kawasan itu tidak lagi sesuai kerana boleh mengancam keselamatan selain kedudukannya yang tersorok daripada pandangan menyebabkan mereka berdepan masalah kekurangan pelanggan sejak sekian lama,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Yusof berkata persatuan juga sedia mengadakan perbincangan dengan semua pihak bagi mencari jalan penyelesaian terbaik kepada masalah yang berlaku.

Katanya, nasib kesemua peniaga di situ yang juga kebanyakan peniaga asal kraftangan di Jalan Taman Bunga Banda Hilir sebelum pusat beli-belah itu dibangunkan, sewajarnya diberi perhatian berikutan tapak bawah tanah itu berdepan pelbagai kerosakan terutamanya selepas dijadikan parkir valet.

“Kita melihat ruang di atas padang itu boleh dijadikan gerai alternatif kepada peniaga terlibat manakala ruang niaga sedia ada diserahkan semula kepada pihak pengurusan pusat beli-belah untuk dijadikan parkir kenderaan,” katanya.

Sebelum ini, peniaga juga mendakwa beberapa kali membuat aduan berhubung masalah itu dipercayai berpunca daripada kebocoran saluran paip pembetungan, namun masih tiada tindakan.

Sementara itu, Pengerusi PPPPKMNM Mohamad Rujahan Sidik berkata pihaknya juga memohon supaya PBT bertindak pantas sebelum sebarang kejadian lebih buruk berlaku selain kawasan di situ juga pernah dinaiki air beberapa kali tahun ini menyebabkan mereka mengalami kerugian.

“Kita berharap pihak PBT dapat mempertimbang keluhan peniaga di sini dan mencari penyelesaian terbaik selepas kejadian yang berlaku,” katanya.

Sementara itu, peniaga Abdul Rahim Embi, 59, berkata sehingga kini hanya terdapat 79 peniaga yang beroperasi di bazar itu manakala hampir 100 peniaga lain gulung tikar sejak beberapa tahun lepas kerana tidak mampu bertahan.

“Apabila semakin banyak gerai kraftangan dibuka di kawasan lain yang berdekatan di atas, kami yang berniaga di bawah ini semakin sukar untuk bersaing kerana kedudukannya agak tersorok,” katanya yang berniaga di bazar itu sejak 17 tahun lepas.

— BERNAMA

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1498
Kongsi :
Previous post Melaka miliki 21 padang bola sepak
Next post Ketua Jabatan gagal penuhi KPI diberi amaran – KM
Ubah saiz-+=