Melaka miliki 21 padang bola sepak

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

SERI NEGERI 14 Disember – Sebanyak 21 padang bola sepak telah disiapkan di Melaka menerusi projek Satu DUN Satu Padang oleh Majlis Sukan Negara (MSN) Negeri Melaka.

Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) VP Shanmugam berkata, kesemua padang itu merupakan antara kemudahan yang disediakan dalam memperkasa sukan di seluruh negeri.

Katanya, 21 kawasan yang terlibat merangkumi DUN Taboh Naning, Kuala Linggi, Serkam, Pantai Kundor, Bemban, Tim, Asahan, Sungai Rambai, Merlimau dan Sungai Udang.

Selain itu, ia turut membabitkan DUN Pengkalan Batu, Telok Mas, Ayer Keroh, Ayer Molek, Paya Rumput, Lendu, Ayer Limau, Durian Tunggal, Machap Jaya, Gadek dan Rembia.

“Untuk tujuan naik taraf padang bola sepak di setiap DUN, permohonan boleh dibuat atau dipanjangkan kepada Pejabat Daerah masing-masing untuk dikemukakan kepada Unit Kerajaan Tempatan (UKT).

“Ini bagi mendapatkan peruntukan Kerajaan Negeri bagi tujuan naik taraf itu.

“Selain itu, kerja naik taraf, baik pulih dan bina baharu kemudahan awam bola sepak juga boleh dimohon kepada Pejabat Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) atau Jabatan Belia dan Sukan Negeri Melaka untuk diangkat ke Bahagian Pembangunan Kementerian Belia dan Sukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan daripada Zulkiflee Mohd Zin (BN-Taboh Naning) pada Persidangan Keempat (Bajet), Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Melaka Yang Kelima Belas di Dewan Undangan Negeri di sini, semalam.

Menurut Shanmugam, selain sukan, Kerajaan Negeri turut mengambil perhatian terhadap aspek pemerkasaan belia yang disifatkan sebagai aset negara pada masa akan datang.

Untuk itu, katanya, pelbagai program dirangka berteraskan Dasar Belia Malaysia antaranya menerusi penganjuran Hari Belia Negara pada 15 Mei, penubuhan Majlis Perundingan Belia Negara Peringkat Negeri Melaka serta program pembangunan kerjaya dan keusahawanan seperti Program Youth Career peringkat Negeri Melaka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3802
Kongsi :
Previous post Bina sekolah menengah baharu, elak kepadatan pelajar DUN Durian Tunggal
Next post PPPPKMNM mohon PBT pindah peniaga bazar ke tempat lebih selamat, strategik
Ubah saiz-+=