Bina sekolah menengah baharu, elak kepadatan pelajar DUN Durian Tunggal

SERI NEGERI 14 Disember – Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) merancang pembinaan sekolah menengah baharu di Taman Sutera Wangi bagi mengurangkan kepadatan pelajar dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal.

Exco Pendidikan, Teknologi dan Telekomunikasi negeri, Datuk Rais Yasin berkata permohonan projek di sempadan DUN itu telah dimasukkan dalam Rolling Plan Keempat Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

“Data statistik Jabatan Perangkaan menunjukkan kepadatan pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Durian Tunggal yang merupakan satu-satunya sekolah menengah dalam DUN itu melibatkan seramai 1,260 pelajar dengan sebanyak 47 buah kelas.

“Biarpun sekolah sedia ada masih mampu menampung jumlah pelajar menengah di DUN ini, namun dengan adanya sekolah baharu dapat memberi lebih keselesaan kepada warga sekolah seiring pertambahan penduduk sekitar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Zahari Abd Kalil (BN-Durian Tunggal) pada hari ketiga Persidangan Keempat (Bajet), Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Melaka Yang Kelima Belas di Dewan Undangan Negeri di Seri Negeri, di sini hari ini.

Ujarnya, selain itu sebuah sekolah menengah baharu iaitu SMK Krubong telah mula beroperasi pada Julai lalu.

“Kewujudan sekolah ini telah menyuraikan ‘enrolmen’ di sekolah-sekolah berhampiran seperti SMK Paya Rumput, SMK Malim dan SMK Durian Tunggal.

“Bagi sekolah rendah terdapat sebuah sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Durian Tinggal dengan kepadatan seramai 1,026 murid berbanding enam sekolah lain.

“JPN telah mengenal pasti sebidang tanah di Taman Scientex Durian Tinggal yang direzabkan untuk pendidikan,” katanya.

Katanya JPN juga telah mengemukakan permohonan peruntukan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi Rolling Plan Ketiga Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) untuk kos pendaftaran dan proses sebelum hak milik tanah didaftarkan atas nama Persuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP).

“JPN sentiasa membuat penilaian berdasarkan keperluan dan kepadatan sekolah menengah sedia ada dari semasa ke semasa,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1258
Previous post Melaka terima pelaburan RM7.233 bilion hasil lawatan ke luar negara
Next post Melaka miliki 21 padang bola sepak