Sorting by

×

PPSPM HARGAI PENGUNJUNG ‘MELAKA BILA LARUT MALAM’ DENGAN 1,000 BAUCAR PERCUMA

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

BANDARAYA MELAKA 3 Ogos – Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) mengedarkan 1,000 baucar menarik secara percuma kepada pegunjung Melaka River Cruise bersempena Program Melaka Bila Larut Malam Edisi Ogos, malam tadi.

Pengarah Jabatan Pembangunan Perniagaan dan Korporat PPSPM, Salman Salim berkata baucar istimewa diedarkan di dua jeti Melaka River Cruise iaitu Jeti Muara dan Taman Rempah.

Katanya, simbolik pemberian baucar istimewa itu sebagai tanda penghargaan kepada pengunjung yang tidak putus-putus memberi sokongan terhadap produk pelancongan ikonik Melaka itu.

“Julung kalinya, untuk edisi Program Melaka Bila Larut Malam, PPSPM mengedarkan 1,000 baucar, di mana di Jeti Muara kita edarkan 500 baucar dan di Jeti Taman Rempah sebanyak 500 baucar.

“Kesemua pengunjung menerima beg cenderahati berisi pelbagai baucar daripada rakan strategik PPSPM dan pengunjung boleh gunakan baucar tersebut mengikut terma dan syarat yang tertera di pada baucar terbabit.

“Inisiatif ini bukan sahaja sebagai tanda penghargaan kepada pelancong, malah bertujuan mempromosikan produk dan perkhidmatan tempatan sambil menghidupkan suasana malam di kawasan pelancongan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Mengulas lanjut, Salman berkata, edaran baucar terbabit merupakan titik permulaan, di mana selepas ini akan ada pelbagai baucar dan barangan istimewa akan diberikan kepada pengunjung bertuah.

Jelas beliau ia merupakan antara langkah diambil PPSPM dalam menggamit kehadiran pengunjung bersempena sambutan Hari Pelancongan Sedunia (WTD) 2025 yang akan berlangsung pada September depan.

“Kita berterima kasih kepada para pengunjung yang datang memeriahkan suasana malam menerusi Program Melaka Bila Larut Malam di Melaka River Cruise.

“Sejak tahun lalu, kehadiran pengunjung, sama ada dari dalam mahupun luar negara, sangat menggalakkan. Malah, baru-baru ini ada pelawat dari China dan Uzbekistan,” katanya.

Terdahulu, tinjauan Melaka Hari Ini di lokasi mendapati pengunjung mula beratur satu jam lebih awal sebelum kaunter dibuka pada jam 11 malam untuk mendapatkan tiket serendah RM10 bagi Program Melaka Bila Larut Malam yang diadakan pada Sabtu minggu pertama setiap bulan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

423
Kongsi :
Previous post BIDANG TVET KINI JADI PILIHAN UTAMA PELAJAR
Next post PUSAT PEMBELAJARAN KOMUNITI DI MELAKA MALL