Sorting by

×

PPSPM HARGAI PENGUNJUNG ‘MELAKA BILA LARUT MALAM’ DENGAN 1,000 BAUCAR PERCUMA

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

BANDARAYA MELAKA 3 Ogos – Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) mengedarkan 1,000 baucar istimewa secara percuma kepada pegunjung Melaka River Cruise bersempena Program Melaka Bila Larut Malam Edisi Ogos.

Pengarah Jabatan Pembangunan Perniagaan dan Korporat PPSPM, Salman Salim berkata baucar istimewa terbabit diedarkan di dua lokasi iaitu Jeti Muara dan Jeti Taman Rempah.

Katanya, pemberian baucar istimewa adalah sebagai simbolik tanda penghargaan kepada pengunjung yang tidak pernah putus dalam memberi sokongan terhadap produk pelancongan ikonik Melaka itu.

“Julung kalinya, untuk edisi Program Melaka Bila Larut Malam, PPSM mengedarkan 1,000 baucar yang mana di Jeti Muara kita edarkan 500 baucar dan di Jeti Taman Rempah sebanyak 500 baucar.

“Dalam bag goodies berisi baucar kita berikan itu terisi dengan pelbagai baucar daripada rakan strategik PPSPM dan pengunjung boleh gunakan baucar tersebut mengikut terma dan syarat yang tertera di bahagian baucar terbabit.

“Inisiatif ini bukan sahaja sebagai tanda penghargaan kepada pelancong, malah bertujuan mempromosikan produk dan perkhidmatan tempatan sambil menghidupkan suasana malam di kawasan pelancongan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui pada Program Melaka Bila Larut Malam di Jeti Taman Rempah di sini, semalam.

Tinjauan Melaka Hari Ini di lokasi mendapati pengunjung mula beratur satu jam awal sebelum kaunter dibuka untuk jualan tiket serendah RM10 bagi Program Melaka Bila Larut Malam pada jam 11 malam.

Mengulas lanjut, Salman berkata edaran baucar terbabit merupakan titik permulaan yang mana selepas ini akan ada lagi pelbagai baucar dan barangan istimewa akan diberikan kepada pengunjung bertuah.

Tambahnya, langkah itu dilihat untuk menggamit kunjungan pengunjung bersempena sambutan Hari Pelancongan Sedunia 2025 (WTD2025) yang akan berlangsung pada September depan.

“Kita berterima kasih kepada para pengunjung yang datang memeriahkan suasana malam menerusi Program Melaka Bila Larut Malam di Melaka River Cruise.

“Sejak tahun lalu, kehadiran pengunjung, sama ada dari dalam mahupun luar negara, sangat menggalakkan. Malah, baru-baru ini ada pelawat dari China dan Uzbekistan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

312
Kongsi :
Previous post PERSIAPAN SAMBUT WTD2025 CAPAI 90 PERATUS
Next post 530 ASNAF DAN FAKIR MISKIN DISANTUNI SEMPENA WRUR DUN REMBIA