
PPSPM PERKUKUH BUDAYA KERJA BERINTEGRITI
BANDARAYA MELAKA 4 Ogos – Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) mahu setiap kakitangannya membudayakan amalan budaya kerja berpandukan integriti.
Ketua Pegawai Eksekutif PPSPM, Shaharul Azuar Idris berkata, beliau tidak akan berkompromi terhadap mana-mana kakitangan yang didapati ponteng sehingga menyebabkan kerja-kerja tertangguh.
“Saya amat menekankan budaya kerja berintegriti di PPSPM, sikap jujur, amanah, telus, bertanggungjawab dan berani menolak rasuah mesti diterap dalam diri setiap kakitangan.
“Integriti ini bermula dengan melaksanakan tugas pada waktu yang ditetapkan selain tidak melakukan urusan peribadi dalam waktu kerja.
“Saya berharap agar Unit Integriti dapat mengaturkan program-program membudayakan integriti penjawat awam,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perhimpunan Bulanan PPSPM Bagi Bulan Jun Dan Julai 2025, di Pejabat PPSPM di Pengkalan Rama, di sini, 30 Julai lalu.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Khidmat Pengurusan Dan Kewangan, Khairunnisa Ibno Masooda serta Pengarah Jabatan Pembangunan Perniagaan dan Korporat, Salman Salim.
Menurut Shaharul Azuar, warga kerja PPSPM juga diingatkan supaya tidak sewenang-wenangnya menyebarkan maklumat dalaman kepada pihak yang tiada kaitan.
“Saya juga ingin memberi peringatan kepada seluruh kakitangan agar tidak sewenang-wenangnya bercakap, berkongsi maklumat atau mendedahkan maklumat kepada pihak yang tiada kaitan hanya semata-mata untuk menunjukkan ketidakpuasan hati terhadap pengurusan atau sesetengah individu.
“Tindakan seperti ini adalah tidak matang dan boleh memberi kesan tidak baik kepada imej organisasi malah individu yang ingkar boleh diambil tindakan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.