PPV khas bagi pesakit berisiko tinggi di Masjid Al-Azim

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

MELAKA 15 Jun – Hospital Melaka membuka pusat pemberian vaksin (PPV) khas menerusi Program Outreach Vaksinasi COVID-19 di ruang legar auditorium Masjid Al-Azim, Bukit Palah di sini khusus buat golongan pesakit berisiko tinggi.

Timbalan Pengarah Perubatan II Hospital Melaka Dr Mohd Rosli Tompang berkata, masjid yang terletak kira-kira 600 meter dari Hospital Melaka itu memudahkan sebarang urusan kecemasan, sekiranya berlaku kesan sampingan selepas suntikan vaksin terhadap pesakit berisiko tinggi berkenaan.

“Golongan pesakit berisiko tinggi ini akan dipantau tahap kesihatan mereka selepas menerima suntikan. Jika tiada masalah, mereka akan dibenarkan pulang manakala jika ada kesan selepas mendapat suntikan, mereka akan terus dihantar ke Hospital Melaka untuk menerima rawatan susulan,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

TIMBALAN Pengarah Perubatan II Hospital Melaka Dr Mohd Rosli Tompang. Foto – MMC,

Menurut beliau, tiga kriteria pesakit berisiko tinggi yang dipilih untuk mengambil suntikan di PPV khas itu ialah, pesakit yang mempunyai sejarah alahan teruk dengan ubat-ubatan, mempunyai daya ketahanan rendah seperti pesakit barah, dan pesakit mempunyai masalah pendarahan.

Katanya PPV khas berkenaan mula dibuka semalam sehingga 30 Ogos depan, dengan pihaknya menjangkakan sehingga hampir 400 pesakit berisiko tinggi akan menerima suntikan vaksin jenis Pfizer-BioNTech.

Dr Mohd Rosli berkata, PPV khas itu beroperasi mulai 7.30 pagi hingga 4 petang setiap Isnin hingga Jumaat, dengan penerima vaksin dipilih daripada senarai pesakit yang menerima rawatan di hospital kerajaan serta swasta.

Sementara itu, penerima vaksin K.S Vijayalakshimy, 71, yang merupakan pesakit barah payudara berkata, pembukaan PPV khas itu membantu pesakit kronik sepertinya mendapatkan suntikan vaksin dengan lebih cepat, dan mengurangkan kerisauan terhadap kesan sampingan vaksin.

“Saya tiba kira-kira 9.30 pagi dan dalam tempoh 15 minit saya telah disuntik, kakitangan kesihatan juga banyak membantu memberi penerangan yang jelas mengenai suntikan vaksin ini,” kata wanita itu yang juga Ketua Sukarelawan Sokongan Klinikal Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia Cawangan Melaka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1150
Kongsi :
Previous post Kes sebar berita palsu turun 83 peratus berbanding pada PKP 1.0- Zahidi
Next post Muhyiddin, Jawatankuasa Bebas Darurat Menghadap Agong hari ini
Ubah saiz-+=