Premis judi online berselindung disebalik kedai makan, kedai aksesori telefon

Masa Membaca:58 Saat

MELAKA TENGAH 27 Ogos – Operasi haram dalam kegiatan judi dalam talian yang berselindung di sebalik jualan aksesori telefon dan kedai makan tumpas selepas diserbu polis dalam Operasi Pemotongan Bekalan Elektrik dijalankan, 25 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, dalam serbuan dijalankan di daerah Melaka Tengah itu sebanyak tujuh premis telah dikenal pasti menjalankan kegiatan haram itu.

Katanya, pihaknya menerusi kerjasama Sahabat Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah melaksanakan tindakan pemotongan bekalan elekttrik seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 21A Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

“Berdasarkan statistik serbuan dan tangkapan dalam daerah Melaka Tengah, sebanyak 362 kertas siasatan telah dibuka sepanjang Januari hingga Julai tahun ini membabitkan kesalahan perjudian.

“Dari jumlah itu sebanyak 42 premis telah diambil tindakan pemotongan elektrik,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan, hari ini.

Dalam pada itu, beliau memberi amaran kepada masyarakat agar tidak terjebak dengan aktiviti tidak bermoral seperti itu malah meminta kepada semua pihak untuk segera melaporkan kepada pihaknya sekiranya kegiatan itu berlaku.

“Orang ramai boleh menghubungi Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah di talian 06-2841999 atau mana-mana balai polis berkaitan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1628
Kongsi :
Previous post Polis siasat kebocoran dokumen penghakiman perbicaraan kes Rosmah
Next post 5 tan abu al-Quran dilupus di laut
Ubah saiz-+=