PRN Johor: Tingkat sektor pertanian antara tumpuan calon Sungai Balang

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

MUAR, 3 Mac – Isu ekonomi dan pendapatan penduduk setempat yang terjejas berikutan wabak COVID-19, menjadi tumpuan dua calon yang bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Balang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Masing-masing mempunyai misi tersendiri, antaranya mahu memberi tumpuan kepada sektor pertanian yang menjadi sumber ekonomi penduduk tempatan.

Selamat Takim yang mewakili Barisan Nasional (BN) berkata beliau berhasrat membantu masyarakat untuk menerokai peluang pasaran produk seperti nanas ke luar, supaya tidak hanya tertumpu kepada pasaran tempatan semata-mata.

“Dengan kerjasama agensi seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Pertubuhan Peladang, saya mahu membantu sebaik mungkin dari segi meningkatkan keperluan penduduk dan mempromosikan produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS),” katanya.

Beliau yang merupakan Setiausaha UMNO Bahagian Muar berkata tumpuan juga diberikan kepada usaha mengangkat DUN Sungai Balang sebagai hab pelancongan.

Ini kerana kawasan itu yang terletak di persisiran pantai amat terkenal dengan hasil laut kupang.

Bagi calon Perikatan Nasional (PN) Datuk Zainudin Sayuti, beliau mahu meningkatkan pendapatan masyarakat di DUN Sungai Balang, yang sebelum ini terkesan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan menangani kenaikan harga barang.

“Saya ingin membela nasib masyarakat kampung yang terjejas sumber pendapatan kerana harga barang naik, tetapi produk pertanian sukar untuk dipasarkan.

“Itu antara luahan yang saya terima semasa turun berkempen, jadi saya berharap dapat membantu memajukan ekonomi penduduk dengan mewujudkan pusat pengumpulan hasil pertanian umpamanya,” katanya.

Selain BN dan PN, perebutan kerusi DUN Sungai Balang turut melibatkan calon Parti Pejuang Tanah Air Intan Nadira Shafika Mustafa Kamal dan Abdullah Sahid daripada PKR.

Hari pengundian PRN Johor akan berlangsung pada 12 Mac ini manakala undi awal pada 8 Mac.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

703
Kongsi :
Previous post Hujan lebat, gelinciran tanah punca banjir puing – MB Terengganu
Next post Akta baharu larang aktiviti merokok masih di peringkat libat urus
Ubah saiz-+=