PRN MELAKA: AB RAUF ‘POSTER BOY’ UMNO-BN – AHMAD ZAHID

Masa Membaca:1 Minit, 7 Saat

JASIN 23 Oktober – Presiden UMNO Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh sebagai ‘poster boy’ UMNO dan BN yang diyakini mampu memimpin jentera parti mencapai kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.

Menurut Ahmad Zahid, keyakinan itu berdasarkan pengalaman dan keupayaan Ab Rauf yang dikenalinya sejak pemimpin itu berkhidmat sebagai Setiausaha Kerja UMNO Malaysia.

Beliau berkata, Melaka bertuah mempunyai pemimpin seperti Ab Rauf yang komited bekerja demi kepentingan parti dan negeri.

“Sesungguhnya Melaka, Negeri Melaka ini sangat beruntung mempunyai Ketua Menteri seperti Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Pelancaran Jentera Pilihan Raya Barisan Nasional Peringkat Parlimen Jasin sempena PRN Melaka Ke-16 di Dewan MPJ Alamanda, di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua UMNO Bahagian Jasin Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh; Setiausaha Agung UMNO Malaysia Datuk Wira Dr. Asyraf Wajdi Dusuki; Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu Datuk Rais Yasin; Timbalan Ketua UMNO Bahagian Jasin Datuk Azman Abdullah; Naib Ketua UMNO Bahagian Jasin Datuk Khaidhirah Abu Zahar dan Ketua Wanita UMNO Bahagian Jasin Datuk Siti Faizah Abd Azis.

Ahmad Zahid berharap seluruh jentera BN memberikan sokongan padu kepada kepimpinan Ab Rauf dan bekerja bersungguh-sungguh bagi memastikan parti itu memperoleh keputusan terbaik pada PRN Melaka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

147
Kongsi :
Previous post JENTERA UMNO DIMINTA BANTU KEMENANGAN RAKAN STRATEGIK