Produk pelancongan Melaka tidak akan terabai

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

DUYONG 7 Sept. – Produk-produk pelancongan di negeri ini akan sentiasa diberi perhatian oleh kerajaan negeri dalam usaha memastikan tarikan utama Melaka sebagai negeri pelancongan tidak akan terabai.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali berkata, melalui program turun padang ke semua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ada di Melaka, pihaknya sentiasa mengambil maklum tentang lokasi tarikan pelancongan sama ada yang boleh diketengahkan mahu pun yang memerlukan peruntukan untuk di baik pulih.

Mengambil contoh di DUN Duyong, Sulaiman berkata, pihak kerajaan negeri telah mendapatkan peruntukan berjumlah RM50,000 daripada Jabatan Warisan Negara untuk membaik pulih satu tinggalan sejarah lama iaitu Perigi Hang Tuah bagi memastikan tarikan pelancongan itu tidak dimamah usia.

Ujarnya, nilai sejarah yang ada di kawasan itu perlu dikekalkan bagi memastikan ia dapat dipertontonkan kepada generasi akan datang.

“Dalam setiap lawatan DUN, saya sentiasa mengambil tahu dan dimaklumkan mengenai sudut pelancongan apa yang perlu diperbaiki, dan mungkin ada produk-produk pelancongan baharu yang perlu diberikan perhatian. Apa sahaja yang disampaikan kepada saya akan saya majukan kepada pihak yang terbabit untuk tindakan.

“Seperti di Duyong ada pelbagai tarikan seperti Rumah Tradisional di Semabok Dalam dan Perkampungan Hang Tuah serta Perigi Hang Tuah. Saya dimaklumkan Perigi Hang Tuah itu sedang dalam proses baik pulih untuk memperbaiki strukturnya yang sudah usang,” katanya.

Sulaiman berkata demikian kepada pemberita selepas program Ziarah Kasih di Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong, di sini, semalam.

Views:

439
Kongsi :
Previous post Arwah pergi sebelum sempat raikan ulang tahun kelahiran
Next post MBMB baik pulih tiga lokasi jalan berlubang
Ubah saiz-+=