Program Rumah Prihatin perlukan kajian terperinci

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

AYER KEROH 23 Julai – Kajian semula bagi memperincikan bantuan Program Rumah Prihatin perlu dilaksanakan bagi memastikan ia benar-benar disalurkan kepada golongan yang memerlukan.

Pengerusi Jawatankuasa Pengerusi Jawatankuasa Wanita, Pembangunan Keluarga dan Hal Ehwal Kebajikan Negeri, Datuk Latipah Omar berkata, program perumahan yang dahulunya dikenali sebagai Rumah Peduli Rakyat telah dijenamakan semula perlu dinilai membabitkan semua pihak terlibat.

Ujarnya, setiap jawatankuasa terlibat termasuk Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) perlu mengambil langkah turun padang bagi menilai golongan penerima termasuk jumlah peruntukan yang perlu disalurkan.

“Seperti pembinaan Rumah Peduli sebelum ini ada beberapa rumah yang dibina melebihi kos yang ditetapkan disebabkan kos infrastruktur lain tidak dikira telah dikenakan.

“Kajian terperinci ini perlu dilaksanakan demi keperluan golongan tersebut dan bantuan ini akan memberi impak yang baik kepada kerajaan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media semasa sesi rehat Persidangan Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14, di sini hari ini.

Pada masa sama, katanya, syarat yang dikenakan buat pemohon masih sama seperti yang ditetapkan sebelum ini antaranya mensyaratkan pemohon berdaftar dengan e-Kasih melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Rumah Peduli Rakyat yang dibina pada 22 bulan sebelum ini merekodkan sebanyak 127 rumah dibina dan takkan dihentikan malah ada beberapa permohonan lain akan diteruskan malah masih di dalam peringkat perolehan dan sebagainya.

“Kos yang dikenakan buat sebuah Rumah Prihatin sebanyak RM37,000 untuk tiga bilik dan RM30,000 untuk dua bilik dan masih mengekalkan reka bentuk sama seperti Rumah Peduli Rakyat.

“Kerajaan negeri akan teruskan inisiatif ini malah kita akan cuba mencari dana disebabkan setakat ini lebihan dari peruntukkan RM6 juta yang disalurkan untuk program rumah terbabit sebelum ini hanya berbaki RM 1.9 juta,” katanya.

Views:

506
Kongsi :
Previous post “Tolong jangan ada gangguan dan patuh peraturan,” – Speaker DUN Melaka
Next post Melaka tunggu pusat pengagihan kerusi DUN
Ubah saiz-+=