Melaka tunggu pusat pengagihan kerusi DUN

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

AYER KEROH 23 Julai – Melaka masih menunggu keputusan di peringkat pusat mengenai kaedah pembahagian kerusi sebelum memuktamadkan pengagihan kerusi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, selain keputusan yang mencerminkan kaedah pembahagian negeri itu, pihaknya turut memberi pandangan kepada rakan-rakan seperjuangan dalam Muafakat Nasional untuk bertanding di kerusi tertentu.

“Di peringkat negeri, kita belum berbincang lagi tentang pembahagian kerusi DUN kerana menunggu isyarat di peringkat pusat.

“Tetapi kami di Melaka akan bersama-sama parti sama ada MCA atau MIC serta rakan-rakan dalam Muafakat Nasional sudah ada kesepakatan untuk membuat persediaan bagi kemungkinan berlakunya pilihan raya mengejut,” katanya ketika ditemui pemberita di pejabatnya sini, hari ini.

Dalam pada itu, Ab. Rauf berkata, BN dan UMNO negeri bersama-sama gabungan muafakat sudah memulakan persiapan awal bagi menghadapi sebarang kemungkinan sekiranya berlaku PRU secara mengejut.

Katanya, gabungan muafakat itu sudah pun menggerakkan jentera di semua peringkat malah Pusat Daerah Mengundi (PDM) di enam kawasan Parlimen akan diaktifkan semula.

Mengulas lanjut, beliau berkata Muafakat Nasional memberi kelebihan kepada semua pihak yang terbukti hasil daripada kesepakatan menerusi Pilihan Raya Kecil (PRK).

“Bagi pilihan raya akan datang, sudah pasti Muafakat Nasional Melaka akan beri keputusan baik, apatah lagi nilai tambah PAS kepada UMNO akan memperlihatkan bahawa kerjasama ini mesti diteruskan untuk melepasi pilihan raya akan datang,” katanya.

Dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), BN Melaka memenangi dua kerusi Parlimen manakala 13 kerusi di kawasan DUN.

Views:

437
Kongsi :
Previous post Program Rumah Prihatin perlukan kajian terperinci
Next post PJC untuk petugas barisan hadapan
Ubah saiz-+=