PJC untuk petugas barisan hadapan

Masa Membaca:1 Minit, 1 Saat

AYER KEROH 23 Julai – Bagi menghargai pengorbanan dan jasa petugas barisan hadapan yang bertugas ketika negara menghadapi sesuatu bencana, kerajaan negeri memperkenalkan Pingat Jasa Cemerlang (PJC).

Ketua Menteri Datuk Haji Sulaiman Md Ali berkata, pingat itu akan dianugerahkan kepada mereka yang layak dalam menghargai jasa barisan hadapan.

“Penjawat awam, pengamal media dan orang perseorangan atau individu yang layak khususnya kalau negara terima sesuatu bencana seperti pandemik Covid-19.

“Semalam, saya membawa satu usul mengenai mewujudkan pingat baharu yang dikenali PJC akan dianugerahkan kepada individu dalam perkhidmatan awam negeri dan Persekutuan yang memberi jasa bakti serta khidmat Cemerlang kepada Melaka khususnya ketika bencana,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media hari terakhir Persidangan Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Ke-14.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pingat itu dipersetujui oleh Pengerusi Jawatankuasa dan Yang di-Pertua Negeri Tun Datuk Seri Utama (Dr) Haji Mohd Ali Rustam bagi merai atau mengenang jasa murni mereka yang benar- benar berjuang atau bertarung nyawa kepada negeri dan negara.

“Pingat ini akan dianugerahkan setiap tahun pada Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC),” katanya.

Beliau berkata, antara mereka yang layak menerima PJC adalah doktor, jururawat, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Views:

340
Kongsi :
Previous post Melaka tunggu pusat pengagihan kerusi DUN
Next post Melaka Rumahku perlu berteraskan tiga perkara
Ubah saiz-+=