Projek jangka panjang pengairan sawah padi bermula hujung tahun ini

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

Projek Skim Pengairan Sawah Padi Bukit Rambai dijangka bermula pada hujung tahun ini bagi penyelesaian jangka panjang menghadapi musim kemarau di kawasan berkenaan.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata bencana kemarau berpanjangan itu membimbangkan petani dan pesawah apabila pertanian mereka terjejas akibat kekurangan sumber air.

Katanya, masalah itu bagaimanapun dapat diatasi dalam tempoh jangka panjang apabila peruntukan sejumlah hampir RM30 juta bagi melaksanakan projek yang merangkumi pembinaan sistem pengairan dan saliran, sistem saliran pertanian, jalan ladang dan infrastruktur pengairan berkaitan.

“Kita sudah memperolehi hampir RM30 juta bagi melaksanakan projek saliran yang akan dimulakan seawal hujung tahun ini dan dijangka siap dalam tempoh satu hingga dua tahun.

“Projek itu sekali gus dapat mengatasi kekurangan bekalan air di kawasan tersebut,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Simpulan Kasih di sebuah hotel di sini, malam tadi.

Dalam perkembangan sama, Dr. Muhamad Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau berkata, Kerajaan Negeri sedang memohon bantuan daripada Kerajaan Pusat bagi menyalurkan bantuan kepada golongan pesawah di Bukit Rambai yang mengalami kerugian akibat bencana tersebut.

Katanya, aduan yang diterima akan dirujuk kepada KPKM bagi membolehkan bantuan disalurkan kepada pesawah terjejas.

“Saya sudah melawat kawasan sawah padi Bukit Rambai dua minggu lalu dan fenomena El Nino ini memberikan kesan terutama di kawasan sawah padi Bukit Rambai yang melibatkan sebahagian besar kawasan tanaman itu.

“Mana-mana pesawah yang mengalami kerugian akibat bencana alam ini boleh membuat laporan polis dan laporan itu akan dihantar melalui Jabatan Pertanian masing-masing supaya kita mohonkan bantuan daripada Kerajaan Pusat.

“Laporan itu sudah dihantar dan menunggu tindak balas daripada kementerian tersebut,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

444
Kongsi :
Previous post ‘Biar untung 10 sen’
Next post Galak anak yatim, miskin miliki akaun SSPN Prime
Ubah saiz-+=