Projek mengindahkan Sungai Melaka siap 2024

Masa Membaca:1 Minit, 51 Saat

AYER KEROH 25 November – Projek Pembersihan dan Pengindahan Sungai Melaka Parcel 2 pakej satu yang dilaksanakan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sejak tahun 2018 dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh 18 bulan.

Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang berkata, projek berkenaan adalah kerjasama antara kementeriannya dan kerajaan negeri bagi membangunkan kemudahan dan mengindahkan kawasan Sungai Melaka sepanjang 5.2 kilometer membabitkan kos keseluruhannya RM350 juta.

Katanya, projek itu terbahagi kepada tiga pakej yang mana dua daripada pakej terbabit sejauh 2.8 kilometer sudah siap dan diserahkan kepada kerajaan negeri pada tahun 2018.

“Bagaimanapun, pakej pertama (membabitkan kawasan sungai dari Jambatan Tun Razak hingga Jambatan Hang Jebat) sejauh 2.4 kilometer masih belum siap, antaranya membabitkan infrastruktur bangunan, jambatan dan beberapa tempat seperti rawatan air loji dan kumbahan.

“Projek pakej itu dalam proses memuktamadkan perjanjian dengan kontraktor penyelamat kedua bagi menyiapkan keseluruhan projek dalam tempoh 18 bulan dengan kos berjumlah RM30 juta.

“Bagi bangunan River Information Centre (RIC) yang berada dalam pakej satu sudah siap, jadi kita sudah serahkan kepada kerajaan negeri pada Julai lalu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke lokasi berkenaan.

photo1669357358
Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Ir. Dr. Zaini Ujang mengadakan sidang akhbar selepas Lawatan TYT Yang di-Pertua Negeri Melaka ke Projek Pengindahan dan Pembersihan Sungai Melaka di River Information Centre (RIC), Kampung Pengkalan Rama Pantai, Melaka. Foto: MR. AZLI

Terdahulu, beliau mengiringi Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam melawat kawasan projek berkenaan dengan berjalan kaki bermula dari Yayasan Toh Puan Zarina hingga ke RIC sejauh lebih lima kilometer.

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha KASA, Dr Ching Thoo dan Ketua Pengarah JPS, Datuk Ir Dr Md Nasir Md Noh.

Mengulas lanjut, Dr Zaini berkata, hasil lawatan itu, pihaknya mengambil maklum teguran yang diberikan Yang di-Pertua Negeri Melaka antaranya menambah baik infrastruktur kawasan di sepanjang Sungai Melaka.

“Hasil teguran TYT Tun tadi, kita akan pernbaiki, bagaimanapun perkara itu di luar daripada projek pakej dan kita akan bekerjasama dengan JPS negeri bagi penambahbaikan insrastruktur dengan kos kira-kira RM1.1 juta,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3304
Kongsi :
Previous post PM beri keutamaan tangani isu kos sara hidup
Next post Inflasi Malaysia turun kepada 4.0 peratus pada Oktober 2022 – DOSM
Ubah saiz-+=