Projek naik taraf pengairan dan saliran Bukit Rambai siap September 2025

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

SERI NEGERI 14 Disember – Projek menaik taraf infrastruktur Skim Pengairan Sawah Padi Bukit Rambai bagi fasa dua yang berkeluasan 22.76 hektar dijangka siap pada September 2025.

Exco Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata kerja-kerja menaik taraf itu melibatkan pembinaan sistem pengairan dan saliran, sistem saliran pertanian, jalan ladang dan infrastruktur pengairan berkaitan.

Katanya, berdasarkan status terkini, projek berkenaan dalam proses pengambilan tanah (land acquisition) yang dijangka selesai sehingga bayaran pampasan pada Julai 2023.

“Pelan Seksyen 8 telah dihantar untuk semakan awal Kepada Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) Negeri Melaka pada 22 November lalu.

“Jumlah keluasan lot pengambilan terlibat sebanyak 22.76 hektar dengan bilangan lot tanah sebanyak 368 lot. Kerja-kerja pembinaan fizikal akan bermula setelah proses bayaran pampasan pengambilan tanah selesai yang dijangka bermula pada September 2023.

“Tempoh pembinaan adalah selama dua tahun dan dijangka siap pada September 2025,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Lim Ban Hong (BN-Klebang) mengenai pelaksanaan sistem pengairan sawah padi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang pada Persidangan Keempat (Bajet), Penggal Pertama, Dewan Undangan Negeri Yang Kelima Belas di Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.

Ujarnya, Skim Pengairan Bukit Rambai itu melibatkan Kampung Pinang, Kampung Batang Tiga, Kampung Bukit Rambai dan Kampung Setulang Daeng dengan keluasan skim sebanyak 815 hektar.

“Kawasan seluas 530 hektar masih aktif dengan aktiviti penanaman padi melibatkan 180 pengusaha, manakala 15 hektar aktif dengan tanaman lain seperti tembikai, pisang, jagung, jambu, sayuran, mangga dan lain-lain melibatkan 11.

“Peruntukan keseluruhan bagi projek membina infrastruktur pengairan dan saliran serta kerja lain berkaitan skim ini di Bukit Rambai telah diluluskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) (2021-2025) iaitu sebanyak RM29.4 juta,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1954
Kongsi :
Previous post Agong tolak gaji sejak COVID-19 melanda – PM Anwar
Next post Batu Puteh: Teliti semula tuntutan, rundingan segera dengan Singapura – PM Anwar
Ubah saiz-+=