Promosi Bukit Batu Lebah tarik pelancong luar

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

ASAHAN 10 April – Promosi berterusan perlu dilakukan bagi memperkenalkan Taman Eko-Rimba Bukit Batu Lebah sebagai lokasi wajib pengunjung ke Melaka.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asahan, Fairul Nizam Roslan berkata, langkah itu melibatkan kerjasama agensi tertentu terutama Bahagian Promosi Pelancongan (BKK) untuk memasukkan lokasi tersebut dalam program pengimarahan pelancongan tahun ini.

Katanya selain memperkenalkan lokasi itu kepada pengunjung dalam negara, promosi besar-besaran dengan mengajak rombongan luar berupaya memacu pelancongan di kawasan tersebut.

“Saya percaya Bukit Batu Lebah ini mempunyai peminat tersendiri dari dalam dan luar negara namun ia memerlukan sedikit inisiatif daripada bentuk promosi.

“Misalnya, agensi terlibat perlu mempelbagaikan promosi seperti mengadakan aktiviti bermalam di sini dengan penglibatan delegasi luar terutama menjelang Tahun Melawat Melaka 2024 nanti.

“Pelancong perlu tahu tarikan di kawasan sini bukan tumpu pada Melaka Tengah sahaja kerana Bukit Batu Lebah dan banyak lagi tarikan di sini yang mereka belum tahu,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

asahan 2
FAIRUL NIZAM

Tambahnya, beliau akan meneliti semula beberapa keperluan dan fasiliti untuk menaik taraf kawasan itu.

“Saya berpuas hati dengan kemudahan setakat ini cuma daripada semasa ke semasa, saya akan terus meneliti segala ‘feedback’ orang tempatan yang sudah datang ke sana.

“Bagi saya lebih baik kalau suatu hari nanti, kita boleh membangunkan satu tapak untuk inap desa di tengah-tengah hutan itu supaya ia lebih sesuai untuk seisi keluarga,” katanya.

Sebelum ini, Melaka Hari Ini melaporkan Bukit Batu Lebah menjadi antara tiga produk eko pelancongan popular yang giat dipromosikan dalam kalangan pemain industri pelancongan di Selatan Thailand, baru-baru ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2050
Kongsi :
Previous post Sinar markisa Ah Tan
Next post 20 April tarikh lihat anak bulan Syawal
Ubah saiz-+=