PRU-15 diteruskan meskipun ada negeri kekal pendirian tidak bubar DUN

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

JASIN 14 Oktober – Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tetap diteruskan biarpun beberapa negeri kekal dengan pendirian tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.

Perdana Menteri Datuk Seri Utama Ismail Sabri Yaakob berkata, semua negeri berhak membubarkan DUN masing-masing pada bila-bila masa.

“Saya mencadangkan dan mengesyorkan jika boleh diadakan secara bersama (pembubaran Parlimen dan DUN) tetapi keputusan telah dibuat oleh enam negeri.

“Jadi pilihan raya akan diteruskan seperti biasa dan mereka berkenaan berhak untuk membubarkan DUN pada bila-bila masa saja,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Loji Rawatan Air Kompak Chin Chin 3, di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali; Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari dan barisan Exco Kerajaan Negeri.

Ujarnya, keputusan beberapa negeri enggan membubarkan DUN itu menjadikan kos yang akan ditanggung kerajaan lebih tinggi.

“Itu tidak memberikan apa-apa kesan kepada kita cuma yang saya katakan bahawa yang pertama akan menyusahkan kerana rakyat akan keluar mengundi.

“Keduanya daripada segi kos yang akan ditanggung oleh kerajaan tinggi, kerana enam negeri itu persiapan pilihan raya nanti tentu akan melibatkan kos tinggi.

“Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) akan menanggung dua kos dan rakyat akan mengundi dua kali,” katanya.

Semalam Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat memutuskan untuk mengekalkan pendirian tidak membubarkan DUN Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3900
Kongsi :
Previous post Rumah serendah RM110,000 ditawarkan di MAPEX 2022 Edisi Kedua
Next post Saarani dititah menghadap Sultan Perak hari ini
Ubah saiz-+=