Rumah serendah RM110,000 ditawarkan di MAPEX 2022 Edisi Kedua

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

KESIDANG 14 Oktober – Ekspo Perumahan dan Hartanah Melaka (MAPEX) 2022 Edisi Kedua yang diadakan di West Concourse Dataran Pahlawan pada 21 hingga 23 Oktober ini menawarkan sebanyak 1,992 unit hartanah pelbagai jenis dengan harga serendah RM110,000.

Pengerusi Penganjur MAPEX 2022, Datuk Ngoh Chun How berkata, penganjuran edisi kedua itu lebih meriah apabila disertai 28 pempamer terdiri daripada pemaju perumahan, syarikat perbankan dan agensi kerajaan seperti Lembaga Perumahan Melaka (LPM) dan Projek Perumahan 1Malaysia (PR1MA).

Menurutnya, pengunjung yang hadir bakal menikmati pelbagai tawaran menarik, termasuklah pengecualian duti setem bagi rumah pertama dan pemeriksaan kredit (credit check) secara percuma pada ekspo anjuran Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) Cawangan Melaka itu.

“Kita berharap rakyat Melaka dapat merebut peluang ke eskpo ini memandangkan untuk edisi kedua ini ia lebih meriah dengan menawarkan 38 projek perumahan pada harga RM110,000 hingga RM1.6 juta.

“Menariknya, pembeli rumah di Melaka boleh menikmati penjimatan sehingga RM11,500 menerusi pengecualian duti setem dibawah insentif kerajaan tertakluk kepada jenis rumah.

“Ekspo ini juga bakal dirasmikan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali pada 21 Oktober ini pada jam 3 petang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar MAPEX 2022 di Pejabat REHDA di Taman Malim Jaya, di sini, yang turut dihadiri Pengerusi REHDA Melaka, Datuk Ng Choon Koon.

Mengulas lanjut, beliau berkata keseluruhan 1,992 hartanah yang ditawarkan pada ekspo yang bermula pada jam 10 pagi hingga 10 malam itu.

Ujarnya, jumlah itu merangkumi 901 unit rumah teres dua tingkat, 524 unit rumah kondominium atau apartmen dan 242 unit rumah teres setingkat.

Selain itu, turut ditawarkan ialah 170 rumah semi-D, 16 banglo dan baki 139 unit lain-lain hartanah seperti ‘townhouse’, rumah kedai dan pejabat.

Sementara itu, Choon Koon pada sidang media itu turut meminta rakyat negeri ini mengambil peluang pada ekspo berkenaan memandangkan harga rumah dijangka akan terus meningkat pada tahun-tahun mendatang susulan kenaikan kos bahan binaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4734
Kongsi :
Previous post Pembinaan takungan air kurangkan kebergantungan sumber bekalan air mentah di Melaka- PM
Next post PRU-15 diteruskan meskipun ada negeri kekal pendirian tidak bubar DUN
Ubah saiz-+=