Pembinaan takungan air kurangkan kebergantungan sumber bekalan air mentah di Melaka- PM

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

JASIN 14 Oktober – Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan sejumlah RM350 juta bagi pembinaan Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) di Melaka.

Pembinaan takungan air itu adalah usaha kerajaan untuk menyelesaikan masalah sumber bekalan air mentah yang terhad di negeri ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Utama Ismail Sabri Yaakob berkata pembinaan TAPS adalah bertujuan untuk mengurangkan kebergantungan Melaka terhadap bekalan air mentah dari negeri-negeri lain seperti Johor dan Negeri Sembilan.

“Kerajaan Pusat telah meluluskan peruntukan sebanyak RM350 juta melalui Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) bagi pembinaan TAPS Melaka bertempat di Tasik Biru ini untuk menambah sumber bekalan air mentah di seluruh negeri ini.

“Sebagai penyelesaian jangka panjang, Kerajaan Pusat turut meluluskan peruntukan sebanyak RM150 juta di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) bagi kerja- kerja penyaluran air mentah dari TAPS Melaka ke Empangan Jus di daerah Jasin yang dijangka siap pada 2028,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Loji Rawatan Air Kompak Chin Chin 3 Jasin, di sini hari ini.

Ujarnya lagi, kerajaan pusat juga sedang melaksanakan projek pembinaan TAPS Jernih di Alor Gajah dengan peruntukan RM234.7 juta dan dijangka siap pada 2026.

Mengulas tentang Loji Rawatan Air Kompak Chin Chin 3, beliau berkata ianya akan memberi manfaat kepada lebih 100,000 Keluarga Malaysia Melaka khususnya di Jasin dan Merlimau.

“Pembinaan loji itu menelan belanja RM40 juta dan ia salah satu inisiatif SAMB (Syarikat Air Melaka Berhad) untuk membantu Kerajaan Melaka dan Keluarga Malaysia Melaka yang sebelum ini berdepan dengan kemarau sehingga terpaksa mencatu bekalan air pada Januari hingga Mac 2020.

“Loji ini beroperasi menggunakan bekalan air mentah dari Tasik Biru iaitu bekas lombong yang tidak lagi digunakan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1834
Kongsi :
Previous post Polis tahan buruh edar heroin hampir RM80,000
Next post Rumah serendah RM110,000 ditawarkan di MAPEX 2022 Edisi Kedua
Ubah saiz-+=