Saarani dititah menghadap Sultan Perak hari ini

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

IPOH, 14 Okt – Selepas menghadap Sultan Perak Sultan Nazrin Shah bagi mempersembahkan hasrat pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Rabu lepas, Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad telah dititahkan untuk menghadap Sultan Nazrin Shah hari ini.

Saarani memaklumkan beliau telah dititahkan untuk menghadap Sultan Perak hari ini ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Islam Negeri Perak 1444H/ 2022M di sini hari ini.

“Tidak pasti apa tujuan (menghadap)…tunggu sehingga Istana buat pengumuman,” kata Saarani.

Difahamkan majlis menghadap hari ini berlangsung sekitar tengah hari di Istana Kinta selepas Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Islam Negeri Perak yang dihadiri Saarani.

Pada majlis menghadap pada Rabu lepas, Saarani mempersembahkan warkah permohonan pembubaran DUN kepada Sultan Perak, yang menurut Saarani, warkah permohonan pembubaran itu dibuat selaras dengan Fasal 2 Perkara 36 Bahagian Pertama Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak.

Saarani turut menyembah maklum mengenai pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai pembubaran Parlimen berkuat kuasa 10 Okt, serta syor supaya ketua kerajaan negeri mengambil tindakan untuk membubarkan DUN bagi membolehkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan serentak.

Perak mempunyai 59 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

DUN Perak kini terdiri daripada 25 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN), DAP (15), Amanah (lima), Bersatu (empat), PAS (tiga), PKR (tiga), PBM (tiga) dan Bebas (satu).

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1547
Kongsi :
Previous post PRU-15 diteruskan meskipun ada negeri kekal pendirian tidak bubar DUN
Next post Lelaki ditahan disyaki terlibat samun bersenjata di Kuala Kangsar
Ubah saiz-+=