PRU15: Tiada parti peroleh majoriti mudah di DUN Pahang

Masa Membaca:2 Minit, 25 Saat

KUANTAN, 20 Nov – Keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang menyaksikan buat julung kali dalam sejarah, kerajaan negeri tergantung selepas tiada parti memperoleh majoriti mudah bagi membentuk kerajaan negeri yang baharu.

Berdasarkan keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),  Perikatan Nasional (PN) menang 17 kerusi, Barisan Nasional (16) dan lapan kerusi oleh Pakatan Harapan (PH).

Bagaimanapun, proses pengundian bagi kerusi DUN Tioman ditangguhkan kepada 7 Dis ini ekoran kematian calon PN, Md Yunus Ramli, 61, pada jam 3.30 pagi semalam.

Pahang mempunyai 42 kerusi DUN dan mana-mana parti perlu menang 22 kerusi untuk memperoleh majoriti mudah bagi membentuk kerajaan negeri.

PN memenangi kerusi DUN Cheka, Tanjung Lumpur, Luit, Chenor, Bukit Ibam, Kuala Sentul, Tahan, Damak, Pulau Tawar, Jengka, Beserah, Pulau Manis,  Lanchang, Kuala Semantan, Panching, Lepar dan Sungai Lembing. 

BN pula menang di Inderapura, Benta, Jenderak, Padang Tengku, Batu Talam, Kemayan, Jelai, Guai, Kerdau, Dong, Muadzam Shah, Peramu Jaya, Chini. Pelangai dan Bebar selain turut merampas DUN Sabai daripada PH. 

PH menerusi DAP pula memenangi DUN Tanah Rata, Tras, Triang, Mentakab, Bilut dan Ketari manakala PKR menang di Semambu dan Teruntum.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mempertahankan DUN Jelai buat kali kelima selepas menang dengan majoriti 6,983 undi, menewaskan calon PN, Dr Abdul Rasid Mohamed (3,109 undi) manakala calon PH, Ismail Mohd Hussin pula hilang deposit apabila hanya memperoleh 1,464 undi. 

Di DUN Cheka, Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, yang mewakili PN, menang dengan majoriti 1,223 undi dalam saingan empat penjuru, menewaskan calon BN, Ho Fong Mee (4,411 undi), Rasid Muhamad (PH-2,255 undi) dan calon Pejang, Aishaton Abu Bakar  dengan 81 undi.

Seorang lagi calon tumpuan iaitu anak sulung kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Mohamad Nizar, yang bertanding kali pertama pada PRU15 di DUN Peramu Jaya, memperolehi 19,337 undi menewaskan calon PN, Abu Talib Muhammad (11,514 undi), calon PH, Tugimon Abdul Hamid (2,511 undi) dan calon Bebas, Tengku Zainul Hisham Tengku Hussin (193 undi).

PRU15 juga menyaksikan semua 13 calon Pejuang yang bertanding di DUN Pahang hilang deposit dan nasib sama juga menimpa 15 calon PH, lima calon Bebas serta calon tunggal Parti Rakyat Malaysia (PRM). 

Bagi kerusi Parlimen, PN membuat kejutan apabila berjaya merampas empat kerusi daripada BN, iaitu Kuala Krau, Maran, Jerantut dan Rompin selain turut menang di Kuantan, Indera Mahkota dan Temerloh. 

BN hanya menang di lima kerusi iaitu Bera yang dimenangi Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Lipis, Paya Besar, Cameron Highlands dan Pekan manakala PH mengekalkan kerusi mereka di Raub dan Bentong. 

Pengerusi PN Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah turut  mempertahankan kerusi Parlimen Indera Mahkota manakala bekas Presiden MCA, Tan Sri Liow Tiong Lai yang membuat kemunculan semula di Parlimen Bentong tewas kepada personaliti DAP, Young Syefura Othman atau Rara. 

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

5514
Kongsi :
Previous post Amaran hujan lebat, ribut petir di empat negeri – MetMalaysia
Next post Kerajaan Persekutuan akan dibentuk dalam masa terdekat – Muhyiddin
Ubah saiz-+=