PSMJ 2035: Beri peluang wakil rakyat Kerajaan Perpaduan lontar pendapat

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

KUALA LUMPUR 17 Februari – Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali menyampaikan penghargaan kepada kesemua wakil rakyat Kerajaan Perpaduan dalam keterlibatan menjayakan Konvensyen Hala Tuju Perancangan Pembangunan Negeri Melaka 2023.

Sulaiman berkata, Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya 2035 (PSMJ 2035) yang memasuki versi ketiga kali ini buat julung kalinya turut mengundang kehadiran wakil rakyat daripada Pakatan Harapan yang membawa suara Kerajaan Perpaduan, sekali gus memastikan kerjasama dalam membentuk hala tuju Melaka sebagai negeri lestari dapat dicapai.

Tambahnya lagi, semangat perpaduan yang dijalin diyakini mampu membentuk kerjasama yang rapat sebagai kunci kebersamaan membangunkan negeri ini.

“Mereka juga dirai untuk menghadirkan diri bagi memberikan pandangan mereka bagaimana negeri ini boleh dibangunkan mengikut semangat perpaduan kerana kita semua mempunyai tugas masing-masing untuk menjalankan tanggungjawab seperti mana selepas dipilih oleh rakyat.

“Dalam konvensyen ini mereka boleh melontarkan pandangan masing-masing selain meluahkan segala permasalahan yang terdapat di kawasan pentadbiran masing-masing, Saya mengucapkan terima kasih kepada kesemua wakil rakyat ini yang memberi kehadiran penuh untuk bersama-sama dalam konvensyen ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas merasmikan penutupan Konvensyen Hala Tuju Perancangan Pembangunan Negeri Melaka 2023 diadakan di sebuah hotel di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Hadir sama, barisan Exco Kerajaan Negeri, ketua jabatan dan wakil agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1435
Kongsi :
Previous post Ketua jabatan, ketua polis daerah digesa perkukuh integriti
Next post Bertuah terpilih jalani sistem parol
Ubah saiz-+=