Pulau Bidong jadi tumpuan peminat sejarah dan alam semula jadi

0
250
Pulau Bidong. Foto - Libur.

KUALA NERUS 19 Sept – Setelah hampir dua tahun sepi daripada kunjungan pelancong akibat pandemik COVID-19, Pulau Bidong kini kembali menjadi tumpuan selepas kerajaan membenarkan Terengganu beralih ke Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara bermula Jumaat lalu.

Meskipun tidak begitu popular seperti pulau peranginan yang lain di Terengganu kerana ketiadaan hotel, resort atau chalet serta kemudahan sempurna, Pulau Bidong yang digelar sebagai ‘pulau nyawa kedua’ oleh pelarian perang Vietnam satu ketika dahulu tetap menjadi pilihan sebagai destinasi pelancongan terutama untuk pencinta sejarah dan alam semula jadi.

Pengarah Urusan Bidong Heritage Travel Sdn Bhd, Badrol Hisham Zaki berkata keindahan terumbu karang, peninggalan sejarah pelarian Vietnam, kepelbagaian flora dan fauna yang masih tidak ‘terusik’ serta kewujudan galeri dasar laut pertama di Malaysia menyebabkan nama Pulau Bidong sentiasa meniti di bibir aktivis alam sekitar serta peminat snorkeling dan selam skuba.

AKTIVITI snorkeling dan selam skuba antara bagi pelancong di Pulau Bidong. Foto- adventoro.com

“Pulau Bidong bukanlah lokasi sesuai untuk mereka yang ingin menikmati percutian mewah atau selesa kerana tiada restoran, kedai makan dan kemudahan lengkap seperti di pulau lain.

“Namun, ia menjadi destinasi percutian idaman untuk mereka yang inginkan ketenangan dan merasai sendiri pengalaman survival sebagai ‘orang pulau’.

“Sejak sektor pelancongan Terengganu dibenarkan beroperasi pada 1 September lalu, sambutan orang ramai sangat memberangsangkan untuk mengenali pulau bersejarah ini dengan lebih dekat lagi,” katanya kepada pemberita baru-baru ini.

Badrol Hisham adalah antara dua pengusaha tapak perkhemahan yang berdaftar dengan kerajaan Terengganu untuk beroperasi di Pulau Bidong ketika ini.

Walaupun mempunyai 100 unit khemah, syarikatnya mengehadkan hanya 50 peratus penggunaan khemah pada satu-satu masa mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

Beliau berkata, pemilihan pelancong ke Pulau Bidong juga sangat ketat kerana hanya individu yang lengkap dua dos vaksinasi serta melepasi tempoh matang dibenarkan masuk dan perlu mengamalkan SOP seperti menggunakan cecair pencuci tangan membasmi kuman dan memakai pelitup muka apabila berada bersama kumpulan pelancong yang lain.

Pulau Bidong telah diisytihar sebagai pusat penempatan orang hanyut Vietnam pada Ogos 1978 hingga November 1991.

Sepanjang tempoh itu, seramai 252,390 orang pernah berlindung di pulau tersebut sebelum berpindah ke negara ketiga seperti Amerika Syarikat, Kanada, Jerman dan Australia.

Ia mula dibuka kepada pelancong pada Januari 2017, namun hanya terhad kepada lawatan sehari sahaja.

Mereka yang mahu bermalam pula perlu mendapatkan kebenaran Lembaga Muzium Negeri Terengganu yang diamanahkan menjaga kelestarian pulau tersebut.

Beberapa pengunjung yang ditemui pula mengakui teruja dapat datang ke Pulau Bidong selepas sektor pelancongan kembali beroperasi dan berharap kerajaan negeri akan mengekalkan konsep pelancongan sedia ada agar khazanahnya sentiasa terpelihara.

Pekerja swasta, Nurul Ain Norazuan, 31, berkata Pulau Bidong sangat istimewa berbanding pulau peranginan yang lain kerana ia tidak ada penempatan penduduk dan masih bebas daripada sebarang bentuk pencemaran.

“Tidak perlu bersusah payah mencari lokasi snorkeling kerana keindahan terumbu karang di sekitar kawasan tapak perkhemahan sudah begitu menakjubkan,” katanya yang datang ke pulau itu bersama rakan sekerja.

Bagi Mohd Rushdi Samsudin, 39, beliau berpendapat pelancong perlu menjaga kebersihan dan mematuhi peraturan yang ditetapkan sepanjang berada di Pulau Bidong agar keindahannya dapat ditatap generasi akan datang.

“Antaranya tidak memancing atau menangkap ikan di kawasan pulau, tidak melakukan pembakaran terbuka, tidak merosakkan flora, fauna serta terumbu karang dan pastikan bawa pulang sampah ke tanah besar….ini adalah pendidikan berterusan yang perlu diamalkan oleh kita semua mulai sekarang,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri Ariffin Deraman berkata satu gotong-royong perdana akan diadakan pada minggu depan di Pulau Bidong sebagai simbolik bermulanya aktiviti pelancongan di pulau tersebut.

Beliau berkata kerajaan negeri juga akan menilai tahap kerosakan kemudahan awam atau infrastruktur yang perlu dibaik pulih dan dinaik taraf untuk keselesaan pelancong.

“Selain itu, aspek kebersihan juga akan diberi keutamaan kerana kami tidak mahu pulau ini dicemari sampah sarap. Walaupun Pulau Bidong mula dibuka untuk kunjungan orang ramai, kami akan hadkan jumlah kemasukan pelancong kerana mahu kekalkan ia sebagai pulau eksklusif agar keindahan semula jadi dan nilai sejarahnya terpelihara,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.