Pulau Konet bakal jadi ikon pelancongan Melaka Utara

Masa Membaca:1 Minit, 44 Saat

PERINGGIT 18 Julai – Pulau Konet di Kuala Sungai Baru, turut mendapat jolokan sebagai ‘rumah ikan’ berikutan kawasan itu yang kaya dengan terumbu dan ikan hiasan warna-warni iaitu pakej menjadi pelengkap kepada keindahan alam semulajadinya.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Pulau-Pulau Melaka (MPPM), Azhar Yaacob berkata, meskipun keluasannya cuma 0.71 hektar, Pulau Konet terletak dalam Zon Utara, wajar dibangunkan sebagai produk baharu pelancongan negeri Melaka.

Berikutan itu, pihaknya sentiasa berusaha untuk memulihara warisan alam berkenaan agar tidak terjejas akibat pembangunan pesat sekitarnya.

“Pulau ini ibarat ‘yang patah takkan tumbuh, yang hilang tiada ganti’ itulah kata-kata yang saya tekankan supaya mana-mana pihak yang melaksanakan projek berkaitan pulau dapat mengekalkan identiti asalnya.

“Rugilah kalau kita tidak mengawal pembangunan sekitar pulau ini, kita mahu setiap pembangunan di pulau terkawal dan komprehensif supaya ada rasa tanggungjawab terhadap pemuliharaan alam semula jadi.

“Di Melaka kita ada 16 pulau yang perlu dijaga, jadi sudah tentu kalau kita jaga kebersihan pulau ia akan kekal sebagai satu produk pelancongan yang menarik dan menjadi sebutan pelancong luar,” katanya pada Wawancara Bersama Melaka Hari Ini (MHI) di Pejabatnya di Peringgit di sini, 14 Julai lalu.

AZHAR

Azhar berkata, mengikut perancangan MPPM mahu menjadikan Pulau Konet sebagai pulau persinggahan (pit stop) kepada pelancong datang ke negeri ini.

“Kewujudan Pulau Konet menjadi pelangkap kepada landskap pantai. Pelancong boleh berjalan ke Pulau Konet ketika air surut, tetapi apabila air pasang pelancong akan melihat pemandangan yang sangat cantik.

“Ketika ini kami sedang berusaha mendapatkan peruntukan bagi menaik taraf kemudahan sekitar Pulau Konet dan akan dijalankan dalam masa terdekat,” katanya.

Mengikut perancangan pihkanya akan memasang lebih banyak lampu bagi menerangi kawasan pulau, selain membina laluan pejalan kaki menghubungkan terus pantai dan Pulau Konet.

Jelasnya aspek kebersihan turut diberikan perhatian dan bagi tujuan itu pihaknya bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk menyediakan tong sampah.

“Mungkin selepas itu kita akan menyediakan tandas awam, gerai menjual makanan dan minuman untuk para pelancong yang singgah menikmati pemandangan indah Pulau Konet,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

5467
Kongsi :
Previous post Pencuci kapal didakwa bunuh isteri, bayi
Next post Mekanisme subsidi bersasar sedang dirangka – PM
Ubah saiz-+=