Sorting by

×

PUTRA SPECIALIST HOSPITAL MELAKA KONGSI ILMU URUS ANAK AUTISME

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

BANDARAYA MELAKA 10 Mei – Pendekatan kondusif diambil Putra Specialist Hospital (PSH) Melaka, dengan menganjurkan Seminar Komunikasi Anak Autisme bagi memberi perkongsian dan pendedahan tentang anak-anak istimewa ini.

Timbalan Pengerusi PSH Melaka, Datuk Ngwe Hee Sem berkata, pendedahan perlu diberi memandangkan rata-rata ibu bapa yang mengurus dan menjaga anak-anak autisme ini berdepan cabaran.

Beliau yang juga Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri berkata, segelintir anak-anak autisme bukan hanya mempunyai kelewatan perkembangan, malah kelakuan yang tidak terkawal juga merupakan antara kesukaran untuk ibu bapa atau keluarga.

“Justeru itu pendekatan yang kondusif perlu diberi supaya ibu bapa mendapat sokongan mental yang baik untuk menjaga anak autisme mereka.

“Untuk julung kalinya PSH mengadakan seminar ini yang diberikan secara percuma bagi memberi pendedahan, kupasan dan diselitkan juga sesi interaksi bukan sahaja kepada ibu bapa tetapi tenaga pengajar serta anggota masyarakat yang terbabit dengan anak istimewa ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui selepas merasmikan Seminar Komunikasi Anak Autisme di Putra Specialist Hospital Melaka, di sini, hari ini.

Img 20250510 141902 748
HEE Sem merasmikan Seminar Komunikasi Anak Autisme di Putra Specialist Hospital Melaka. Foto Iqmal Haqim Rosman

Menurut Hee Sem, dengan adanya sesi perkongsian atau seminar itu ibu bapa dan keluarga secara tidak langsung mendapat input yang boleh dipraktikkan dalam kehidupan seharian menguruskan anak istimewa mereka.

Jelas beliau, sebagai Exco bertanggungjawab juga pihaknya menyokong inisiatif Kerajaan Negeri yang komited dalam pembangunan anak autisme di Melaka.

“Sepanjang sesi seminar ini berlangsung pelbagai topik atau perkongsian akan diterangkan kepada peserta iaitu bermula mengenali simptom sehingga kepada sokongan Augmentative and Alternative Communication (AAC).

“Untuk siri akan datang kita sasarkan untuk mengadakan seminar ini dalam skala yang lebih besar agar lebih ramai ibu bapa dapat sertai, ini merupakan antara tanggungjawab sosial korporat (CSR) PSH Melaka,” katanya.

Terdahulu, seminar yang disertai seramai 60 peserta itu menampilkan empat sesi atau topik dengan jemputan tiga speaker termasuk Pakar Kanak-Kanak PSH Melaka Dr. Adam Al-Anas Mat Ali.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

604
Kongsi :
Previous post MYKIOSK BUKAN PROJEK GAJAH PUTIH, 80 PERATUS TELAH BEROPERASI – MBMB
Next post SWM ENVIRONMENT DIDIK WARGA KERJA CAKNA KESELAMATAN JALAN RAYA