WRUR TANJUNG BIDARA: 78 PROGRAM BERSAMA RAKYAT, 140 ADUAN AKAN DISELESAIKAN

Masa Membaca:2 Minit, 15 Saat

TANJUNG BIDARA 13 September – Lebih 78 program melibatkan kesemua portfolio Exco Kerajaan Negeri dirangka sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara bagi memastikan pelbagai keperluan rakyat di kawasan itu disantuni secara menyeluruh.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pengisian program berkenaan merangkumi pelbagai aspek termasuk hal ehwal pendidikan, keagamaan, kebajikan, kemudahan infrastruktur, pembangunan komuniti serta pelbagai isu rakyat.

“Sempena WRUR Tanjung Bidara, kita telah merangka lebih 78 program membabitkan semua portfolio Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri atau Exco mengikut portfolio masing-masing.

“Semua Exco akan turun menyantuni masyarakat Tanjung Bidara daripada hal ehwal nelayan, sekolah, masjid, surau, kebajikan, kemudahan jalan dan semua portfolio yang berkaitan akan disantuni dengan sebaik mungkin,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Pembukaan Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Parlimen Masjid Tanah: Kampung Kita Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara dan Penutup Karnival Falak Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 di Kompleks Falak Al-Khawarizmi, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras WRUR Datuk Fairul Nizam Roslan; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.

Menurut Ab Rauf, pelaksanaan WRUR di Tanjung Bidara turut menerima lebih 140 aduan daripada masyarakat setempat yang kini sedang diteliti untuk tindakan penyelesaian.

Beliau berkata, usaha penyelesaian aduan berkenaan menjadi antara keutamaan Kerajaan Negeri sebelum program WRUR melabuhkan tirainya selepas menjelajah kesemua 28 DUN di Melaka.

Dalam pada itu, Ab Rauf berkata, antara pengisian menarik sempena WRUR DUN Tanjung Bidara adalah Pesta Pantai Tanjung Bidara yang disekalikan bersama Festival Seni Selat dan Festival Sungai Melaka 2026.

Menurut beliau, program itu akan mengisi acara kemuncak WRUR yang dijadualkan berlangsung pada 19 September di Pantai Tanjung Bidara yang mendapat kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM), Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) serta Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara (JKKN) Negeri Melaka.

“Kemuncak malam tersebut kita ada konsert kebudayaan dan hiburan dengan membawa nama-nama besar seperti Amy Search, Charly van Houten (bekas vokalis ST12) dari Indonesia, Amy Search dan ramai lagi artis yang akan menyerikan majlis malam penutup di tapak Karnival WRUR Tanjung Bidara.

“Jadi, saya menjemput seluruh rakyat Melaka untuk hadir dan memeriahkan lagi acara ini,” katanya.

WRUR DUN Tanjung Bidara berlangsung selama tujuh hari bermula hari ini dan merupakan siri ke-28 serta terakhir program berkenaan selepas menjelajah kesemua 28 DUN di Melaka sejak diperkenalkan dua tahun lalu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

372
Kongsi :
Previous post WRUR JADI SOP, BUDAYA PENTADBIRAN MELAKA MASA DEPAN