Rasuah Inspektor dua beradik didenda RM20,000

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

AYER KEROH 15 Ogos – Padah memberi suapan RM4,500 kepada pegawai polis, dua beradik didenda RM20,000 dan dipenjara sehari oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, semalam.

Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin menjatuhkan hukuman itu ke atas tertuduh Wong Chee Wei, 42, dan Wong Choy Shun, 43, selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh bersama-sama telah memberi suatu suapan iaitu wang tunai sebanyak RM4,500 kepada seorang Inspektor Polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah.

Tindakan itu sebagai dorongan untuk tidak menjalankan tindakan iaitu tidak mengambil tindakan ke atas Chee Wei atas kesalahan memiliki peralatan polis tanpa kebenaran mengikut Seksyen 89(a) Akta Polis 1967.

Justeru mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh di Balai Polis Melaka Tengah, kira- kira jam 4 petang, pada 23 Julai 2019.

Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Irwan Shah Abdul Samat memohon hukuman berat dikenakan ke atas tertuduh kerana ini adalah kesalahan serius dan perlu dibendung serta perlu mengambil kira faktor kepentingan awam.

Beliau turut memohon kepada mahkamah supaya wang tunai RM4,500 dilucut hak kepada kerajaan.

Tertuduh diwakili peguam Vinson Tay dan Gan Seong Kim merayu agar hukuman ringan dikenakan.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh Chee Wei dan Choy Shun masing-masing dipenjara sehari dan didenda RM10,000 setiap seorang atau enam bulan penjara jika gagal membayar denda.

Views:

377
Kongsi :
Previous post Padah tendang polis
Next post KKM kutuk pemerdagangan organ
Ubah saiz-+=