Realiti operasi di lautan ketika Ramadan

Masa Membaca:2 Minit, 50 Saat

“SETIBANYA di Pejabat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Melaka dan Negeri Sembilan di Kuala Linggi sekitar jam 5 petang semalam, kelihatan beberapa anggota sudah bersiap untuk ‘Operasi Murni dan Benteng Laut’ bagi mengawal perairan negara.

Kali ini dua bot peronda disediakan iaitu Bot Perkasa 22 dan Bot Benteng 04 untuk tugasan yang bukan janggal bagi mereka untuk mengawal perairan khususnya ketika Ramadan.

Bukan mudah bagi menjamin perairan negara kekal selamat daripada penceroboh ditambah cuaca panas petang, namun golongan barisan hadapan ini kelihatan cukup cekal menjalankan tugas ketika berpuasa.

ANGGOTA APMM memberikan kit makanan kepada nelayan pada program berbuka puasa bersama APMM di atas bot Perkasa dan Benteng di perairan Selat Melaka. Foto: MR. Azli

Tepat jam 5.30 petang operasi dimulakan dengan kekuatan 10 anggota yang mana penulis dan rakan pemberita menaiki Bot Perkasa 22 berkelajuan 1050 kuasa kuda dan diiringi Bot Benteng 04 berkuasa 600 kuasa kuda menyelusuri Selat Melaka.

Dalam operasi ini, beberapa nelayan di sekitar muara Kuala Linggi turut dihampiri APMM bagi memantau dan menasihati mereka tentang tatacara keselamatan yang perlu diutamakan ketika di laut.

Pada masa sama terpancar kesyukuran di sebalik senyuman nelayan terbabit apabila menerima kit makanan sumbangan APMM sebagai penghargaan atas kerjasama selama ini menjadi ‘mata dan telinga’ agensi itu dalam mengawal perairan negara daripada terus diceroboh pendatang asing tanpa izin (PATI) dan sindiket penyeludupan.

Perjalanan di atas bos diteruskan ke tengah lautan sehingga tiga batu nautika jauhnya dan kali ini agak getir kerana menempuh ombak yang semakin beralun, mujur cuaca baik dan angin yang menenangkan berjaya menghilangkan rasa mabuk laut.

PEGAWAI dan anggota APMM
membuat pemantauan pada program berbuka puasa bersama APMM di atas bot peronda di perairan Selat Melaka. Foto: MR. Azli

Sukar dibayangkan bagaimana anggota ini bertugas dalam misi 24 jam itu dan terdetik di hati penulis mungkin cabaran lebih hebat apabila berkawal di tengah laut pada waktu malam.

Tatkala berada di tengah laut, terdapat puluhan kapal berbagai rupa dan reka bentuk berlabuh di sepanjang Selat Melaka yang mungkin menjadi ‘peneman’ mereka.

Sekitar jam 6.45 petang, genang cahaya matahari dilihat mula ‘menyentuh’ lautan, cukup indah mata memandang kurniaan tuhan dan ketika itulah persiapan untuk berbuka puasa mula dilakukan.

Tepat jam 7.17 malam seorang anggota melaungkan azan dan rasa syahdu bermain di hati membayangkan kita yang begitu selesa berbuka puasa di rumah sedangkan mereka berjauhan dengan keluarga dan hanya berbekalkan kurma, kuih manis dan air mineral bagi mengalas perut dalam menunaikan ibadah itu.

Sambil menikmati kurma, mata mereka meliar memantau keadaan sekitar kerana waktu tersebut sudut pandangan mulai terhad dan jenayah pula boleh berlaku pada bila-bila masa.

Malah, pada awalnya kami juga diberitahu ketika Ramadan ini kebiasaannya kes PATI merentas perairan negara secara haram bagi menyambut Syawal yang hampir tiba.

PENULIS [duduk kiri] bersama rakan media yang dibawa merasai pengalaman berbuka puasa di atas bot peronda APMM semasa menjalankan tugasan meronda di perairan Selat Melaka.
Malam semakin pekat, misi rondaan tetap diteruskan namun kali ini perairan Selat Melaka tenang tanpa aktiviti mencurigakan dan begitulah realitinya buat pasukan ini yang memantau perairan kita dengan berterusan bagi mencegah jenayah.

Bagi penulis pengalaman menyertai operasi ini cukup istimewa dan menginsafkan melihat cabaran dan kecekalan pasukan barisan hadapan ini dalam mengawal keselamatan perairan negara.”

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1706
Kongsi :
Previous post Neelofa, suami dan ahli keluarga dikompaun RM60,000
Next post Pelita buluh ‘mak ngah’ imbau nostalgia
Ubah saiz-+=