Pelita buluh ‘mak ngah’ imbau nostalgia

Masa Membaca:2 Minit, 7 Saat

DURIAN TUNGGAL 27 April – “Pada awalnya saya dan suami buat pelita buluh untuk hiasan di kedai, tak sangka pula pelanggan yang datang berminat untuk buat tempahan,” kata pembuat pelita buluh Kamsiah Khamis,38.

Dia yang juga mengusahakan Warung Mak Ngah D’Corner sejak 10 tahun lalu tidak menyangka sambutan pelita buluh itu memberangsangkan bagi mengembalikan nostalgia pada 10 malam terakhir Ramadan.

Pasangan dari Kampung Belimbing Dalam ini nekad mengembalikan kegemilangan pelita buluh atau lampu panjut itu meskipun tradisinya kian dilupakan.

SUAMI Kamsiah, Md Nazri Md Yusoff, 40 menebuk lubang minyak pelita buluh.

“Saya belajar buat pelita buluh daripada arwah nenek. Mula-mula sekadar suka-suka dan tak sangka timbul minat ditambah pula mendapat sambutan menggalakkan dari pelanggan.

“Nak kata turun-temurun tidak juga, kita macam teringat zaman dulu-dulu, mengimbas balik nostalgia kemudian hasilkan pelita buluh dengan idea sendiri.

“Bahkan kita sanggup tunaikan permintaan pelanggan yang berhasrat menjadikan impian arwah ibunya yang mahu halaman rumahnya diterangi cahaya pelita buluh,” katanya kepada MHI.

Mesra dengan panggilan ‘mak ngah’, sehingga hari ini permintaan pelita buluh miliknya tidak pernah menang tangan sehingga mendapat tempahan pelanggan dari luar Melaka.

KAMSIAH, MD Nazri bergambar bersama pembantunya.

“Setakat ini sudah hampir 500 batang pelita buluh yang ditempah pelanggan. Jika pelanggan dalam Melaka mereka boleh ambil pada kita atau kami pos jika tidak sempat.

“Kita ada juga pos sampai ke Selangor, Johor Bahru (permintaan sangat tinggi), Pahang, Kedah, Semenyih dan banyak lagi.

“Sekali pos ada yang minta 25 batang hingga 30 batang dengan kos penghantaran ditanggung oleh pelanggan sendiri,” katanya.

Kamsiah berkata terdapat empat jenis pelita buluh dihasilkan bermula dari harga RM8 hingga RM50 bergantung kepada permintaan pelanggan.

“Masa untuk siapkan satu pelita buluh 10 minit saja iaitu proses nak buang miang buluh, nak tebuk lubang, buat tapak buat tempat isi minyak dan terakhir pasang sumbu.

“Untuk pelita kecil empat sumbu berharga RM8 manakala pelita buluh kecil lapan sumbu siap kaki dijual RM10.

“Pelita buluh besar siap kaki pula dijual RM15 dan pelita buluh paling panjang mengikut permintaan pelanggan berharga RM50,” katanya.

TERDAPAT empat jenis pelita buluh mengikut saiz.

Katanya, tahun ini pelanggan terawal yang membeli pelita buluh diberikan penutup tempat isi minyak.

“Untuk tahun ini yang terawal saja kita buat promosi yang mana pelita buluh dibeli mereka disiapkan dengan penutup tempat isi minyak, kalau dah habis mereka akan dapat yang biasa saja,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1461
Kongsi :
Previous post Realiti operasi di lautan ketika Ramadan
Next post MUFC diintai 10 jurulatih tempatan dan luar negara
Ubah saiz-+=