MUFC diintai 10 jurulatih tempatan dan luar negara

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

KELAB Bolasepak Melaka United (MUFC) dikatakan menjadi kelab ‘terhangat’ dalam pasaran buat masa ini apabila diintai jurulatih dalam dan luar negara.

Hal itu diakui Ketua Pegawai Eksekutif MUFC Datuk Mohd Saiful Mat Sapri yang memaklumkan pihaknya kini menerima lebih 10 resume daripada jurulatih sejak berita mengenai nasib Zainal Abidin Hassan bersama skuad Hang Tuah bakal terlerai sedikit masa lagi.

Beliau bagaimanapun berkata, setakat ini pihaknya tidak pernah berunding dengan mana-mana pihak untuk mengisi tempat tersebut, sebaliknya memberi talian hayat kepada Zainal untuk membimbing beberapa perlawanan lagi.

MOHD SAIFUL tegaskan tiada rundingan dengan mana-mana jurulatih lain setakat ini dan masih memberi peluang kepada Zainal membimbing pasukan.

“Memang ada lebih 10 resume saya terima dan kebanyakan jurulatih dari luar negara. Biasalah, bila ada berita mengenai kedudukan jurulatih ramai yang mahu cuba nasib.

“Cuma, perlu saya tegaskan tiada lagi sebarang rundingan atau nama-nama jurulatih yang sedang kami fikirkan untuk mengemudi Melaka United.

“Kita beri peluang lagi kepada Zainal dan melihat perubahan yang dilakukan sebelum ia diputuskan oleh pihak pengurusan bersama pemilik sedikit masa lagi,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Mohd Saiful berkata, selain jurulatih, pihaknya juga akan meneliti prestasi keseluruhan semua lima pemain import MUFC sehingga tamat aksi separuh musim Liga Super 2021.

Beliau tidak menolak kemungkinan, sekiranya ada keperluan, mungkin berlaku rombakan kecil pada jendela perpindahan kedua nanti.

“Nak kata tak puas hati (prestasi pemain import) itu tidaklah. Cuma kita akan buat penilaian menyeluruh sebelum buat keputusan menjelang pembukaan jendela perpindahan kedua nanti,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

804
Kongsi :
Previous post Pelita buluh ‘mak ngah’ imbau nostalgia
Next post 10,000 anggota bomba siap siaga menjelang Aidilfitri
Ubah saiz-+=